JAKIM PERKASA KOMPETENSI PEGAWAI AGAMA ISLAM MELALUI PROGRAM TOT MANUAL ISLAM HIV/AIDS EDISI KEDUA
Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, PULAU PINANG, 28 OKTOBER 2026 / 17 JAMADILAWAL 1448H
KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 28 Oktober 2026 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meneruskan usaha memperkukuh peranan institusi agama Islam dalam pendidikan dan advokasi HIV/AIDS menerusi Program Training of Trainers (TOT) Manual Islam HIV/AIDS JAKIM Edisi Kedua Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026.
Program yang berlangsung pada 27 hingga 28 Oktober 2026 di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas Pulau Pinang ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).
Manual Islam HIV/AIDS Edisi Kedua merupakan penambahbaikan kepada manual yang dibangunkan oleh JAKIM pada tahun 2009. Manual yang dikemas kini pada tahun 2025 dan diterbitkan pada tahun 2026 ini menyediakan panduan berkaitan pengetahuan asas HIV/AIDS, pencegahan, rawatan, sokongan sosial, kaunseling serta pengurusan stigma dan diskriminasi. Manual ini turut merangkumi panduan pengurusan jenazah pesakit AIDS berdasarkan perspektif Islam.
Sepanjang dua hari, para peserta yang hadir dari pelbagai agensi, mengikuti ceramah, sesi latihan, aktiviti interaktif, latihan dalam kumpulan dan pembentangan bagi memperkukuh keupayaan mengaplikasikan panduan manual dalam pelaksanaan dakwah serta bimbingan kepada klien.
Pengisian program merangkumi pengenalan Manual Islam & HIV/AIDS Edisi Kedua JAKIM oleh Dr. Sa’adi bin Awang, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga dan Sosial JAKIM serta perkongsian kesihatan oleh Dr. Janizah binti Abd Ghani daripada Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang. Program ini juga telah diisi oleh Encik Muhammad Azki Hafizi bin Ibrahim dari Smart Triple IQ Sdn. Bhd.
Pendekatan Islam yang berteraskan rahmah, kasih sayang dan maqasid syariah menjadi asas penting dalam usaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai HIV/AIDS. Pendekatan ini juga bertujuan mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap individu yang hidup dengan HIV, di samping memastikan bimbingan agama dapat disampaikan secara profesional dan berkesan.
Program ini telah disempurnakan penangguhannya oleh YBhg. Tuan Mohd Hafiz Aswad bin Nadzri, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. Dalam ucapan penangguhannya, beliau telah menekankan agar kerjasama strategik antara JAKIM dan JHEAIPP serta institusi agama Islam dapat terus diperkukuh bagi menyokong pelaksanaan pendidikan, advokasi dan intervensi HIV/AIDS secara lebih menyeluruh.








