Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan

PUTRAJAYA, 11 November 2026 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat (Round Table Discussion – RTD) Menangani Ancaman Akidah di Hotel Dorsett, Putrajaya hari ini. Persidangan ini dihadiri oleh wakil-wakil Agensi Persekutuan, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri dari seluruh negara. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen bersama pihak berkuasa agama di peringkat Persekutuan dan Negeri untuk memelihara akidah umat Islam di negara ini.

RTD ini bertujuan mewujudkan platform penyelarasan bersepadu antara agensi bagi merapatkan jurang antara fatwa, penguatkuasaan dan pendakwaan kes akidah. Persidangan ini turut membincangkan cabaran utama dalam penyiasatan, pembuktian dan pendakwaan kes ajaran salah, termasuk kualiti kertas siasatan di peringkat negeri. Selain itu, RTD ini membangunkan cadangan mekanisme atau Prosedur Operasi Standard (SOP) bersama yang menghubungkan proses penyiasatan, pengumpulan keterangan, penguatkuasaan dan pendakwaan. Persidangan juga memberi tumpuan kepada pengukuhan kapasiti risikan, pemantauan dan pengumpulan keterangan, termasuk bagi penyebaran ajaran sesat dalam talian melalui kertas pembentangan utama daripada Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Bahagian Perundangan Syariah JAKIM. Sesi petang melibatkan sidang Pleno yang membincangkan tiga teras utama, iaitu penyeliaan/risikan, penyiasatan dan pendakwaan. Persidangan diakhiri dengan pembentangan resolusi dan ucapan penutup oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).