Kurator Berita : Bahagian Perundangan Syariah

PUTRAJAYA, 18 November 2026 – Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di The Glasshouse, Hotel Pulse Grande, Putrajaya menjadi platform perbincangan strategik antara pihak berkuasa agama dan institusi perundangan negeri bagi meneliti serta menyelaras isu-isu perundangan berkaitan perkahwinan orang Islam yang dilangsungkan di luar negara.

Majlis Dialog pada kali ini memberikan tumpuan kepada usaha mendapatkan pandangan, maklum balas dan penelitian daripada pihak berkuasa agama serta institusi perundangan negeri bagi memperhalusi aspek pendaftaran perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara, termasuk pendakwaan terhadap kesalahan berkaitan ketidakpatuhan prosedur pernikahan di luar negara. Perbincangan ini turut bertujuan mengenal pasti pendekatan yang bersesuaian ke arah penyelarasan pelaksanaan undang-undang dan prosedur berkaitan di seluruh negara, dengan mengambil kira kerangka perundangan Islam yang berkuat kuasa di setiap negeri.

Majlis Dialog ini menampilkan dua pembentangan utama yang menyentuh aspek perundangan dan penguatkuasaan berkaitan perkara tersebut yang telah disampaikan oleh Tuan Wan Mohd Ariff Muzammil bin Wan Mohamed, Timbalan Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang (BSPUU), Jabatan Peguam Negara dan Puan Wan Nur Hanani Ashikin binti Wan Ibrahim, Penasihat Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kedua-dua pembentangan tersebut memberikan pendedahan dan ruang penelitian terhadap kerangka perundangan sedia ada, tatacara permohonan pendaftaran perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara serta pendekatan pendakwaan bagi kes-kes ketidakpatuhan terhadap prosedur pernikahan yang ditetapkan. Sesi perbincangan turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan perkongsian pengalaman antara negeri dalam menangani isu pelaksanaan serta cabaran perundangan yang berkaitan.

Majlis Dialog ini turut menghimpunkan barisan pegawai tertinggi dan pegawai kanan daripada institusi agama serta perundangan di seluruh negara, antaranya Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Sahibus Samahah Mufti Negeri-Negeri, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri-Negeri, Ketua Pendakwa Syarie Negeri-Negeri, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Negeri-Negeri serta Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri-Negeri.

Penyertaan pelbagai institusi dan pihak berkuasa berkaitan ini mencerminkan kepentingan pendekatan secara kolektif dalam memperhalusi isu-isu perundangan Islam yang memerlukan penelitian menyeluruh dari sudut hukum syarak, peruntukan undang-undang, bidang kuasa serta aspek pentadbiran dan penguatkuasaan.

Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan Tahun 2026 telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Muhyiddin bin Aziz@Shaari, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sementara itu, sesi pembentangan resolusi telah dihadiri oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diiringi oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Secara keseluruhannya, penganjuran Majlis Dialog ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan kefahaman dan pendirian yang lebih jelas serta pendekatan yang lebih terselaras dalam pengurusan pendaftaran perkahwinan orang Islam yang dilangsungkan di luar negara dan pengendalian kes pelanggaran prosedur pernikahan. Usaha ini penting bagi memastikan pelaksanaan undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri dapat dilaksanakan secara teratur, konsisten dan berkesan, dengan mengambil kira bidang kuasa serta kerangka perundangan yang terpakai di setiap negeri.