Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan

19 November 2026, Putrajaya - YB Senator Dr.Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) Bilangan 2 Tahun 2026. Mesyuarat ini telah meneliti secara komprehensif terhadap pelaksanaan program yang telah dijalankan dengan penerapan pelbagai inisiatif dan agenda keharmonian bagi memupuk semangat perpaduan negara.

Tujuan mesyuarat ini adalah bagi memastikan kesejahteraan sosial terus terpelihara dalam suasana yang aman dan harmoni di Malaysia. Di samping itu, perbincangan ini turut memberi tumpuan kepada peranan JK HARMONI dalam menangani penyebaran fahaman ekstremisme dan risiko salah faham terhadap agama sehingga menyebabkan pertembungan sentimen agama.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus komited bekerjasama erat dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan seluruh pemegang taruh ke arah memelihara kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di samping menjamin keamanan serta perpaduan masyarakat majmuk selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Bahagian Penyelidikan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia