Merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu, berangkat mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 23 November 2026. Kunjungan penuh bermakna ini merupakan satu penghormatan serta mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap usaha pemerkasaan dan pembangunan hal ehwal Islam di Malaysia.
Hadir menyambut keberangkatan KDYMM Tuanku di Kompleks Islam Putrajaya ialah YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, serta ketua-ketua agensi dan warga JAKIM.
Dalam lawatan kerja tersebut, Baginda berkenan menerima sembah taklimat mengenai fungsi, peranan serta pelaksanaan inisiatif JAKIM, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Yayasan Waqaf Malaysia (YWM). Baginda turut berkenan meninjau Studio Utama Yusuf di Kompleks Islam Putrajaya sebelum berangkat ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Kunjungan ini turut membuka ruang mempererat kerjasama strategik antara institusi Islam Persekutuan dan Negeri, melibatkan JAKIM, JAWHAR, YWM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), dalam usaha bersama memperkukuh tadbir urus, memartabatkan syiar Islam dan menyantuni kesejahteraan ummah.
Seluruh warga JAKIM merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan dan keberangkatan KDYMM Tuanku.
Menjunjung kasih Tuanku. Daulat Tuanku.


















