Program Terapi Psikospiritual Islam (PTPI) Klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan Siri 9 Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya, bermula jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang pada 10 November 2026 (Selasa).
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama AADK Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merupakan siri terakhir bagi tahun 2026 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Marzuki bin Hassan, Pengarah KSK, JAKIM. Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh YM Tengku Hanizar binti Tengku Awang, Pengarah AADK Wilayah Persekutuan; YBrs. Ustazah Kasumawati binti Kassim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, JAWI Cawangan Putrajaya; serta YBrs. Ustaz Shukri bin Sulaiman, Timbalan Pengerusi Masjid Mahmoodiah.
Penganjuran program ini bertujuan memberikan pengisian kerohanian dan pengukuhan spiritual kepada klien AADK melalui pendekatan psikospiritual Islam sebagai salah satu usaha menyokong proses pemulihan secara menyeluruh. Pendekatan ini turut memberi ruang kepada para klien untuk memperbaiki hubungan dengan Allah SWT, membina kekuatan dalaman serta menyemai nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Selain itu, program ini diharapkan dapat menjadi platform sokongan moral dan motivasi kepada klien agar terus tabah, istiqamah serta mempunyai keyakinan untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik tanpa dadah.
Program ini juga bertujuan bagi menjadikan masjid sebagai pusat sehenti kepada masyarakat setempat termasuk klien AADK dalam membantu membendung dan menyelesaikan isu sosial yang merosakkan.
Diharapkan pelaksanaan Program Terapi Psikospiritual Islam ini dapat terus memberikan manfaat dan impak positif dalam membantu usaha pemulihan klien AADK secara menyeluruh, di samping memperkukuh kerjasama strategik antara AADK, institusi agama dan pihak masjid dalam mendukung agenda pemulihan serta kesejahteraan komuniti.
Pemulihan bukan sekadar membebaskan diri daripada dadah, tetapi turut membina kekuatan jiwa, memulihkan nilai kehidupan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.








