Konvensyen Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, dan Pegawai Rundingcara Seluruh Malaysia 2026 telah diadakan pada 11 November 2026 (Rabu) bertempat di Insititut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor. Tema konvensyen kali ini ialah “Digitalisasi Pengurusan Perkahwinan Islam: Memacu Kesejahteraan” menjadi platform strategik dalam memperkukuh kecekapan pengurusan perkahwinan Islam serta meningkatkan profesionalisme pegawai dalam mendepani cabaran era digital.
Objektif Konvensyen ialah mempertingkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan nikah, cerai dan rujuk serta perkhidmatan runding cara/ khidmat nasihat keluarga di seluruh Malaysia, memperkasa kefahaman mengenai pengurusan nikah, cerai dan rujuk di Malaysia khususnya perubahan perkara-perkara yang melibatkan dasar dan memantapkan kemahiran dan pengetahuan para Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk serta Pegawai Runding Cara/ Khidmat Nasihat keluarga selari dengan perkembangan isu-isu semasa munakahat.
Konvensyen ini menampilkan dua pembentangan iaitu “Cabaran Runding Cara/Khidmat Nasihat dalam Era Digital dan Media Sosial: Strategi Menuju Keluarga Sakinah” yang disampaikan oleh Prof. Dr. Salasiah binti Hanin Hamja, Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan “Pelaksanaan e-Kompaun Syariah” oleh Encik Mohd Rasmawi bin Harun, Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Pahang.
Di sebelah petang pula diadakan diskusi konvensyen bertajuk “Digitalisasi Nikah, Cerai dan Rujuk: Mudah atau Rumit?”. Diskusi tersebut menampilkan dua ahli panel, iaitu Ts. Abdul Hadi Jehrmica bin Abdullah, Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat JAKIM dan Tuan Haji Mohamad Kamal bin Mohamad Noor, Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Sesi ini dikendalikan oleh Encik Muhamad Fadhli bin Ahmat dari Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM selaku moderator.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Marzuki bin Hassan, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM mewakili YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam majlis perasmian tersebut turut diadakan pelancaran Buku Manual Kaunseling Syarie Edisi Kedua dan Buku Panduan Kemahiran Keibubapaan.
Program ini diakhiri dengan pembentangan resolusi yang disampaikan oleh Yang Berusaha Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM.
Penganjuran konvensyen ini diharapkan dapat memperkukuh sinergi antara agensi agama Islam di seluruh negara, memperkasa kompetensi pegawai serta memacu transformasi digital pengurusan nikah, cerai dan rujuk ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, inovatif dan mesra rakyat demi kesejahteraan institusi keluarga Islam di Malaysia.










