Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

BANTING, 11 NOVEMBER 2026 – Program Terapi Psikospiritual Islam Klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor Siri 8 Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Al-Islah, Kampung Sawah, Banting, Selangor.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjsama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merupakan siri terakhir bagi tahun 2026 ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Wan Redzuan bin Wan Ismail yang mewakili Pengarah AADK Negeri Selangor.

Turut hadir YBrs. Ustazah Norihan binti Zakaria, Ketua Penolong Pengarah, KSK, JAKIM; YBrs. Ustaz Suhaimi bin Ismail, Pengarah Sektor Pembangunan Ekonomi dan Sosial, MAIS; YBrs. Ustaz Hairul Anuar bin Samingan, Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat; YBrs. Ustaz Kamaruzaman bin Husni, Pengerusi Lembaga Tadbir Masjid Al-Islah, Kampung Sawah; serta YBrs. Encik Mohd Farhi bin Sharif, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sawah.

Penganjuran program ini merupakan antara usaha memperkukuh pendekatan pemulihan klien AADK melalui pengisian kerohanian dan terapi psikospiritual Islam. Pendekatan ini memberi penekanan kepada pembinaan kekuatan dalaman, pemantapan akidah, penghayatan nilai-nilai Islam serta pembentukan jati diri positif dalam kalangan klien yang sedang menjalani proses rawatan dan pemulihan.

Usaha pemulihan bukan sekadar membantu klien meninggalkan penyalahgunaan dadah, malah turut memastikan mereka mempunyai kekuatan jiwa, keyakinan diri, pegangan agama dan keupayaan untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik sebagai anggota masyarakat.

Masjid adalah tempat untuk mereka yang ingin pulang kepada Allah SWT. Justeru, institusi masjid perlu terus menjadi ruang yang terbuka, mesra dan penuh rahmah kepada semua lapisan masyarakat, termasuk individu yang sedang berusaha memperbaiki diri dan membina kehidupan baharu.

Sehubungan itu, program ini diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh daerah di Negeri Selangor pada tahun 2027 dengan pendekatan yang lebih menyeluruh melalui pelaksanaan program selama dua hari satu malam. Cadangan pengisian program bukan sekadar pengisian psikospiritual Islam namun turut merangkumi aktiviti gotong-royong dan khidmat masyarakat bagi memberi peluang kepada klien menyumbang kembali kepada komuniti, membina rasa tanggungjawab serta mengukuhkan hubungan sosial.

Diharapkan inisiatif ini dapat melengkapkan proses rawatan dan pemulihan klien AADK secara holistik, bukan sahaja dari aspek fizikal dan psikologi, malah turut merangkumi aspek spiritual, sosial dan pembangunan sahsiah.

Setiap insan berhak mendapat peluang kedua. Proses pemulihan ini bukan sekadar meninggalkan dadah, tetapi kembali membina kehidupan, memulihkan hubungan dengan Allah SWT dan menjadi insan yang bermanfaat kepada masyarakat.