Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

PUTRAJAYA, 12 NOVEMBER 2026 -  Ada luka yang tidak terlihat, ada derita yang dipendam tanpa suara. Di sebalik senyuman, mungkin tersimpan keresahan, kesedihan dan ujian kehidupan yang tidak mudah diluahkan.

Menyedari hakikat bahawa kesejahteraan manusia bukan sekadar terletak pada kesihatan fizikal, bahkan turut merangkumi kekuatan emosi dan spiritual, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) membawakan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan secara langsung di RTM 1 dan medan medsos JAKIM bertajuk “Sembuh Dari Dalam” sebagai wadah perkongsian ilmu, penghayatan dan kesedaran tentang kepentingan pemulihan jiwa melalui pendekatan Islam.

Forum ini mengangkat perbincangan mengenai kepentingan memahami dan mengurus kesihatan mental, membina kekuatan dalaman serta mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam mendepani pelbagai ujian kehidupan. Pendekatan psikospiritual Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunah turut memberikan perspektif bahawa proses penyembuhan memerlukan keseimbangan antara ikhtiar, sokongan insan sekeliling, doa dan tawakal kepada Allah SWT. Bagi merealisasikan fikrah ini, Bahagian KSK JAKIM telah menyediakan perkhidmatan KSKCareCentre dalam usaha membantu masyarakat yang berhadapan dengan isu kehidupan merangkumi isu kekeluargaan, sosial, gangguan mistik dan sebagainya.

Forum yang disiarkan secara langsung dari Studio Utama Yusuf, Kompleks Islam Putrajaya menampilkan dua orang panel yang mahir dalam bidang keilmuan menyantuni dan memulihkan emosi serta spiritual yang tertekan (stress) iaitu Prof. Dr. Salasiah Hanin Hamjah, Ketua Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ustaz Roslan Mohamed, Pendakwah Bebas. Sesi bual bicara selama satu jam ini dikendalikan oleh Ustaz Zakaria Othman selaku moderator.  

Sekalung penghargaan dirakamkan kepada rakan kerjasama dalam penganjuran forum perdana kali ini iaitu Persatuan Psikospiritual Islam Malaysia (IPSA), Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-WP), Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) serta Bahagian Penyiaran JAKIM yang sentiasa peka terhadap setiap pergerakan detik dan masa bagi memastikan siaran langsung ini berjalan lancar.

Semoga perkongsian ini menjadi ruang untuk kita memahami bahawa setiap luka mempunyai ruang untuk dirawat, setiap ujian mempunyai hikmah dan setiap insan berhak mendapat sokongan untuk kembali bangkit.

Sembuh bukan sekadar pulih daripada luka, tetapi membuka ruang untuk mengeratkan hubungan dengan Allah SWT sebagai laluan menemukan kembali kekuatan dalam diri dengan izin-Nya.