Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

“Menyantuni Jiwa, Membina Harapan, Menuju Fitrah”

13-15 November 2026 | Damai Park Resort, Merbok, Kedah.

Kem Bimbingan Spiritual Islam (Zon Utara) 2026 telah berlangsung selama tiga hari, bermula pada 13 hingga 15 November 2026 di Damai Park Resort, Merbok, Kedah.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan kerjasama Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Hijrah Sinar Mutiara (PEHSIM).

Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan peserta, membina jati diri serta memberikan bimbingan kerohanian kepada golongan yang berhadapan dengan cabaran sosial. Program ini turut menjadi ruang sokongan kepada para peserta untuk melakukan perubahan positif dan membina kehidupan yang lebih baik berlandaskan ajaran Islam.

Pelbagai pengisian telah dilaksanakan sepanjang program, antaranya tausiyah bersama SS Mufti, bimbingan dalam kumpulan, pelbagai aktiviti interaktif, munajat, perkongsian pengalaman serta aktiviti luar yang mendekatkan peserta dengan alam. Setiap pengisian dan modul dirangka dengan pendekatan yang bersesuaian bagi memberikan pengajaran, menyemai keinsafan, membina keyakinan diri serta memperkukuh jati diri peserta. Keseluruhan pendekatan program turut menekankan nilai kasih sayang dan sokongan berterusan agar peserta berasa dihargai serta lebih yakin untuk meneruskan proses penghijrahan diri.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Hanif bin Omar @ Wahab, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah yang mewakili Pengarah JHEAIPP.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa usaha membimbing golongan yang berhadapan dengan cabaran sosial memerlukan pendekatan yang berhikmah, menyantuni dan tidak menghukum.

Beliau turut berharap agar segala ilmu, pengalaman dan kesedaran yang diperoleh sepanjang kem ini dapat menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih baik. Para peserta juga diseru supaya terus istiqamah dalam melakukan penghijrahan serta sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat dan yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program ini.

Semoga usaha murni ini memberikan manfaat yang berpanjangan dan menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan mendapat keredaan Allah SWT.