TAIPING, 20-22 NOVEMBER 2026 - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan kerjasama strategik Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menggembleng tenaga menjayakan Kursus Pascaperkahwinan Islam Peringkat Negeri Perak "Fasa Bulan Madu" Tahun 2026 berlangsung penuh gilang-gemilang selama tiga hari dua malam di Hotel Warisan, Taiping. Program berimpak tinggi ini menghimpunkan seramai 18 pasangan daripada pelbagai latar belakang.
Inisiatif murni ini dirangka khusus sebagai pemangkin dalam memperkasakan institusi kekeluargaan Islam di samping menyemarakkan lagi tautan kasih sayang serta keharmonian antara suami isteri.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta diperkasakan dengan modul pengisian holistik dan komprehensif merangkumi aspek literasi serta pengurusan kewangan berhemah yang dikupas tuntas oleh Penasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), YBrs. Tuan Muaz bin Mahpuzillah. Momentum perkongsian ilmu diteruskan dengan wacana pengurusan stres yang disampaikan oleh Pensyarah Darul Quran, JAKIM, YBrs. Tuan Zulkifli bin Makhtar. Tidak ketinggalan, aspek penjagaan kesihatan fizikal turut diberi penekanan khusus oleh YBrs. Puan Julaidah binti Sharip, manakala dimensi pengurusan psikologi rumah tangga pula dirungkai secara mendalam oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Noor Ikhram bin Husin.
Bagi memperkukuh kefahaman dan memaksimumkan impak pembelajaran, program ini disulam dengan aktiviti interaktif serta Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dinamik seperti "Masam-Masam Manis", "Kenali Diri", dan "Azam dan Akujanji" di bawah bimbingan fasilitator berkaliber, YBrs. Encik Mohd Firdauz bin Mohd Shurkan serta YBrs. Encik Mohd Khairul bin Zainal Abidin. Di samping itu, pengisian kerohanian yang menyentuh jiwa seperti solat berjemaah, kuliah subuh, tausiyah, dan qiamullail turut diimarahkan bagi menyuburkan rohaniah para peserta sebelum tirai program dilabuhkan menerusi Majlis Perasmian Penutup.
Kemuncak program menyaksikan Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Kamal bin Mohamad Noor, Ketua Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Negeri Perak. Majlis penuh bermakna ini turut diserikan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanan, Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM.
Penganjuran kursus seumpama ini diharapkan dapat mencetuskan anjakan paradigma serta menyuntik manfaat berpanjangan dalam melestarikan bahtera perkahwinan yang sakinah, mawaddah, dan rahmah. Kesinambungan program berprestij ini amat wajar diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah terunggul dalam memartabatkan kesejahteraan emosi, mental, dan sahsiah kekeluargaan ummah.








