Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah Bil. 2 Tahun 2026 merupakan platform penting dan strategik dalam membincangkan perkembangan, hala tuju serta penyelarasan dasar berkaitan perundangan Syariah di negara ini. Mesyuarat ini turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerangka perundangan Syariah secara menyeluruh dan bersepadu agar kekal relevan, tersusun serta responsif terhadap keperluan semasa dan cabaran masa hadapan, selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan YBhg. Datuk Nor Bee binti Ariffin, Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK), Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Anas bin Ahmad Zakie, Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara; YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM); YAA Tuan Haji Mohd Asri bin Haji Tahir, Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan; YBrs. Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan; YBrs. Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan; YBrs. Tuan Wan Mohd Sanusi bin Wan Mohd Noor, Pengurus Unit Undang-Undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); serta YBrs. Puan Nafizah binti Md. Fauzi, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
JAKIM turut diwakili oleh beberapa orang pegawai kanan, antaranya YBrs. Puan Salwana binti Ahmad Dahlan, Pengarah Kanan, Bahagian Dasar Kemajuan Islam; YBrs. Puan Wan Nurhanani Ashikin binti Wan Ibrahim, Penasihat Undang-Undang JAKIM; dan YBrs. Tuan Mohd Suhaimi bin Mohd Yusof, Pengarah Bahagian Perundangan Syariah.
Fokus utama mesyuarat adalah untuk meneliti landskap perundangan Syariah negara secara menyeluruh, meliputi undang-undang utama, undang-undang subsidiari serta ekosistem dan mekanisme sokongan yang berkaitan. Penelitian ini penting bagi memastikan kerangka perundangan Syariah terus diperkukuh secara holistik dengan mengambil kira perkembangan, keperluan dan cabaran pelaksanaan di peringkat Persekutuan dan negeri, sama ada pada masa kini mahupun akan datang. Mesyuarat turut memberi perhatian kepada usaha mengenal pasti isu dan cabaran dalam pelaksanaan dasar perundangan Syariah serta meneliti ruang penambahbaikan yang memerlukan perhatian dan tindakan susulan pihak-pihak berkaitan.
Usaha penyelarasan dasar ini merupakan langkah penting yang memerlukan komitmen, kerjasama erat serta pandangan konstruktif daripada semua pihak berkepentingan. Pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu amat diperlukan bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dirancang dapat diselaraskan serta dilaksanakan dengan teratur dan berkesan, sekali gus memperkukuh sistem perundangan Syariah di Malaysia.
Diharapkan segala perbincangan dan usaha yang digerakkan melalui Sekretariat ini dapat membuahkan hasil yang positif serta menjadi pemangkin kepada pengukuhan dasar dan kerangka perundangan Syariah negara. Semoga usaha berterusan ini turut memberi manfaat kepada pemerkasaan institusi agama, kesejahteraan ummah dan pembangunan negara.









