LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

BERKENAAN

SAMBUTAN BULAN FALAK MALAYSIA TAHUN 2021

Bil.28/2021

  1. Sempena Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M, JAKIM dengan kolaborasi Jabatan Mufti Negeri-Negeri dan Agensi Apadilangit (Universe Awareness Malaysia) mengadakan program Bulan Falak Malaysia Tahun 2021. Program ini bermatlamat untuk memartabatkan ilmu falak melalui program bersepadu di peringkat kebangsaan dan negeri serta menjadikan bulan Muharam setiap tahun Hijrah (bulan pertama kalendar Islam) sebagai Bulan Falak Malaysia.

  2. YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan melancarkan program ini secara maya pada 9 Ogos 2021 jam 5.00 petang di Facebook rasmi JAKIM. Bulan Falak Malaysia Tahun 2021 akan bermula 9 Ogos hingga 7 September 2021 bersamaan 1 hingga 29 Muharam 1443H. Pelaksanaan program ini diadakan secara dalam talian melalui media sosial rasmi JAKIM, Jabatan Mufti Negeri, balai cerap / lokasi cerapan rasmi Malaysia, masjid-masjid terpilih seluruh Malaysia dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

  3. Pelbagai program menarik yang diadakan bagi menyemarakkan lagi Bulan Falak Malaysia Tahun 2021 ( Rujuk Lampiran - Pengisian Program Sambutan Bulan Falak Malaysia Tahun 2021 ). Peserta yang terlibat meliputi pelbagai lapisan masyarakat sama ada Jabatan Mufti Negeri-negeri, Masjid-Masjid Negeri Seluruh Malaysia, pelajar, mahasiswa, Kelab Falak Negeri Seluruh Malaysia, penggiat falak serta masyarakat awam. Negara anggota MABIMS juga iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang mempunyai bidang kerjasama khususnya dalam ilmu falak akan turut terlibat dalam program ini.

  4. Sempena Sambutan Bulan Falak Malaysia Tahun 2021 ini akan diadakan Pelancaran Penggunaan Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) Baharu MABIMS (dalam penyediaan Takwim Hijrah bermula Muharam 1443H) berdasarkan persetujuan oleh Negara-negara anggota MABIMS (Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura) dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Negara MABIMS di Singapura pada tahun 2019 yang lalu.

  5. JAKIM berharap semoga program ini dapat memberi pendidikan dan pemahaman falak kepada masyarakat serta dapat mengaplikasikannya dalam ibadah secara bersepadu. Program ini juga diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kaedah cerapan, penetapan awal bulan dan proses pengisytiharan hilal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah di Malaysia secara khusus dan nusantara secara amnya.

  6. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan program ini.


Sekian

DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
9 Ogos 2021