LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA


BERKENAAN

MAJLIS AMANAT KETUA PENGARAH JAKIM BERSAMA PELAJAR BAHARU TAJAAN SKIM PEMBIAYAAN HAFIZ 2021

Bil.30/2021

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengadakan Majlis Amanat Ketua Pengarah JAKIM Bersama Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) Tahun 2021 secara dalam talian yang disiarkan secara langsung di Facebook Rasmi JAKIM.

  2. Majlis pada hari ini adalah bertujuan untuk menyampaikan tajaan bernilai RM3.3 juta kepada 232 orang penerima Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) bagi tahun 2021. 4 orang penerima adalah di peringkat pengajian Doktor Falsafah, 8 orang peringkat Sarjana dan 220 orang peringkat Sarjana Muda. Sehingga kini, SPH mempunyai alumni seramai 1177 orang bagi tempoh 2012 – 2021. SPH merupakan satu-satunya skim biasiswa khusus kepada pelajar huffaz al-Quran. Skim ini membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengkesampingkan golongan ini dalam arus pendidikan perdana.

  3. Huffaz yang mendapat tajaan ini juga tidak lagi tertumpu kepada aliran pengajian Islam dan qiraat semata-mata, bahkan terdiri dari pelbagai bidang pengajian lain seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, pendidikan, undang-undang, dan ekonomi. Adalah diharapkan pelajar yang bergelar al-hafiz ini dapat mewarnai negara sebagai doktor al-Hafiz, jurutera al-Hafiz, saintis al-Hafiz, ahli ekonomi al-hafiz yang bakal mengembalikan semula zaman ketamadunan dan kegemilangan Islam.

  4. Dalam rangka memartabatkan bidang pengajian tahfiz di negara ini, pada tahun 2016 kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan disusuli dengan penubuhan Majlis Tahfiz Negara pada tahun 2019 atau kini dikenali sebagai Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz. Jawatankuasa ini bertenggungjawab menyelaras mekanisme pengiktirafan, pensijilan dan penarafan huffaz serta institusi tahfiz yang kini berjumlah 1483 pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara. Kerajaan juga telah menggabung jalinkan bidang tahfiz dengan bidang kemahiran/vokasional dan teknikal yang dikenali sebagai Tahfiz-TVET bersesuaian dengan era IR 4.0

  5. Semoga biasiswa SPH ini dapat menjadi suntikan motivasi kepada pelajar agar dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya dapat memberikan sumbangan kepada agama dan negara.

  6. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan program ini.


Sekian


DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
24 Ogos 2021