LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

BERKENAAN

PENJELASAN ISU ARTIKEL AKHBAR BERTAJUK “INSTITUSI TAHFIZ TERANCAM”

Bil.31/2021

  1. JAKIM ingin merujuk laporan sebuah akhbar tempatan yang bertajuk “Institusi Tahfiz Terancam” yang disiarkan pada 25 Ogos 2021.

  2. Umum mengetahui bahawa pandemik COVID-19 yang mula melanda negara sejak Mac 2020 sehingga kini telah memberi implikasi kepada semua pihak dan tidak terkecuali institusi pendidikan Islam termasuk pusat tahfiz. Berdasarkan data sehingga Julai 2021 melalui Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI), JAKIM, terdapat 1,159 buah Maahad Tahfiz Swasta dan 8,560 orang guru tahfiz di seluruh negara yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN).

  3. Hakikatnya, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa prihatin terhadap isu yang dihadapi oleh institusi-institusi pendidikan Islam ini. Maka peruntukan sebanyak RM21 juta bagi Bantuan Khas Impak Pandemik COVID-19 telah disedia dan diagihkan kepada institusi-institusi pendidikan Islam swasta berdaftar bagi tujuan bantuan sara hidup kepada guru dan bantuan pengurusan operasi institusi. Setiap guru menerima RM800 dan telah dimanfaatkan oleh 20,512 orang guru, manakala sebanyak 1,849 buah institusi pula menerima manfaat bantuan pengurusan institusi.

  4. Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM pada tahun ini juga telah menyalurkan bantuan khas kepada Institusi Pendidikan Islam yang berada di bawah penyeliaan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf institusi berjumlah RM60 juta telah diagihkan kepada 1066 buah institusi yang merangkumi 558 buah sekolah agama, 413 buah tahfiz dan 95 buah pondok.

  5. Selain, itu pihak Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Agama Negeri juga telah menyediakan peruntukan dan bantuan kepada guru-guru tahfiz dan institusi tahfiz di negeri masing-masing dalam jumlah peruntukan yang besar. Bahkan institusi zakat di negeri-negeri turut menghulurkan bantuan asasi kepada guru-guru tahfiz yang terjejas.

  6. JAKIM menyeru kepada semua pengurusan dan pentadbiran institusi pendidikan Islam termasuk tahfiz agar dapat bersama-sama dengan semua pihak untuk merancang inovasi baharu dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran atau pedagogi pendidikan tahfiz selaras dengan norma baharu masa kini. Penggunaan kemudahan teknologi secara optimum amatlah perlu diberi perhatian bagi memastikan pendidikan tahfiz tidak ketinggalan.

  7. JAKIM percaya bahawa semua pihak terjejas dan terkesan dengan pandemik ini, namun usaha perlu dilakukan bersama untuk berani keluar dari kepompong keselesaan kepada perjuangan meneruskan kehidupan norma baharu termasuklah dunia pendidikan pada hari ini.

  8. Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian sewajarnya kepada perkembangan pendidikan Islam termasuk tahfiz yang dikelola oleh pihak Kerajaan mahupun swasta agar usaha untuk melahirkan generasi al-Quran yang bakal mencorak masa depan negara yang cemerlang tidak terjejas.


Sekian

DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
28 Ogos 2021