LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH JAKIM

BERKENAAN

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1444 H BERSAMAAN 2022 M


Bil.24/2022

1. Sukacita dimaklumkan, bahawa pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H bersamaan 2022M pada 12 Rabiulawal 1444H bersamaan 9 Oktober 2022M (Ahad) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula jam 9.30 pagi.

2. Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah merupakan salah satu acara rasmi Kerajaan yang disambut setiap tahun sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.

3. Mengambil kira negara Malaysia kini telah memasuki fasa endemik, maka Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H bersamaan 2022 M yang dipengerusikan oleh YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah bersetuju dan membuat ketetapan agar majlis tersebut diteruskan semula sebagaimana tahun-tahun sebelumnya yang melibatkan perhimpunan secara fizikal. Walau bagaimanapun, acara perarakan, yang menjadi acara lazim sambutan pada setiap tahun, tidak diadakan pada tahun ini.

4. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong telah berkenan untuk berangkat hadir ke majlis tersebut. YAB Perdana Menteri dan isteri turut sama akan hadir bagi memeriahkan acara sambutan.


TEMA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW

5. Tema sambutan pada tahun ini ialah “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”. Tema ini sangat relevan dan bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri dan pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Kedua-dua pendekatan tersebut menjadi simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi sebarang cabaran bagi mencapai kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera yang menjurus kepada pemeliharan kemaslahatan umah melalui lima prinsip utama iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.


PENGURNIAAN ANUGERAH SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN KRITERIA PENGANUGERAHAN

6. Seperti kelaziman, sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan, akan diadakan upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul SAW kepada individu-individu yang layak. Majlis pada kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan 6 orang penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW. Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara. Penerima Anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan Islam yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara. Pemilihan penerima anugerah ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW yang dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).


KELAINAN PENGANJURAN PADA KALI INI

7. Penganjuran kali ini dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya (mapping) pada latar pentas (astaka), yang akan memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas (astaka). Ini adalah merupakan antara tarikan dan kelainan yang bakal dibawa melalui acara sambutan pada kali ini.

8. Selain itu, mengambil semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, maka pada tahun ini juga, akan dibawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa-peristiwa dari sirah kehidupan baginda.

9. Persembahan khas ini diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian yang berunsurkan keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.

10. Sebagai sebahagian dari program Sambutan Maulidur Rasul, sebuah Forum Perdana Ehwal Islam Khas turut diadakan pada 6 Oktober 2022, 10.00 hingga 11.00 malam di TV1 dengan tajuk “Kasih Tanpa Syarat” anjuran Kerajaan negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah dengan kerjasama JAKIM dan RTM. Isu yang bakal dibincangkan ialah bagaimana sifat Rasululullah SAW yang perlu dicontohi oleh Keluarga Malaysia dalam usaha memupuk nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam diri generasi pelapis negara.

11. Selain itu, penonton juga boleh menyaksikan sambutan ini secara langsung melalui TV1 RTM dan Nasional fm selaku penyiar rasmi, serta lain-lain saluran stesen radio di bawah RTM seperti SALAMfm, Aifm, TRAXXfm, Minal fm, Asyik fm dan stesen radio RTM negeri. Siaran radio ini disampaikan dalam pelbagai Bahasa seperti Tamil, Mandarin, Inggeris dan dialek Orang Asli.

12. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan sambutan ini.

Sekian

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah Jakim
7 Oktober 2022