jata negara small
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

 ISU VIDEO TULAR PRODUK SPARKLING WINE YANG MENDAPAT SIJIL HALAL MALAYSIA

Bil. 12/2023

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merujuk kepada satu kandungan TikTok berbahasa Perancis yang tular baru-baru ini berkenaan produk wine jenama Night Orient Non-Sparkling Drink berasaskan aroma citrus yang telah dinyah alkohol setelah melalui proses fermentasi menggunakan mesin berteknologi tinggi. Produk yang dihasilkan di Perancis tersebut didakwa memiliki pensijilan halal dari Malaysia.

  2. Ingin ditegaskan, bahawa polisi pensijilan halal Malaysia TIDAK MENGIKTIRAF apa-apa produk arak atau berasaskan arak untuk diperakukan halal. Peraturan turut menetapkan mana-mana produk yang menggunakan nama atau jenama produk yang sinonim dengan produk lain yang tidak halal juga tidak boleh memohon sijil halal.

  3. JAKIM juga ingin menafikan dakwaan yang dinyatakan dalam kandungan video tersebut bahawa bayaran caj pensijilan halal sebanyak €10000 dikenakan untuk tempoh 2 tahun. Sebaliknya, caj Pensijilan Halal Malaysia bagi pengilangan produk luar negara yang sedang berkuatkuasa adalah sebanyak USD 2100 sahaja.

  4. JAKIM turut mendapati sijil halal Malaysia yang dipaparkan dalam video berkenaan adalah atas nama Inspirasi Mesra Sdn Bhd. sebuah syarikat berdaftar di Malaysia yang telah tamat tempoh pada tahun 2017 dan bukanlah diberi kepada syarikat di luar negara. Sijil berkenaan tidak sah digunakan lagi kerana tandatangan yang tertera tidak merujuk kepada tandatangan Ketua Pengarah JAKIM ketika ini.

  5. JAKIM memandang serius terhadap isu seumpama ini dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci sama ada wujud salah guna logo atau sijil pengesahan halal Malaysia serta sejauhmana tindakan undang-undang boleh diambil kepada pihak-pihak berkenaan. .

 
Sekian.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
06 Syawal 1444H / 27 April 2023M