jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

MAJLIS SAMBUTAN MA’AL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1447H / 2025M

Bil. 28/2025


1. Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M pada 27 Jun 2025 (Jumaat) bersamaan 1 Muharram 1447 bermula pada jam 9.30 pagi di Malaysia International Trade and Exhibiton Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri dijadual hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.

TEMA SAMBUTAN MA’AL HIJRAH

3. Kerajaan telah bersetuju memilih tema “Membangun Ummah MADANI”. Mesej yang ingin disampaikan dalam sambutan kali ini adalah mengenai peri pentingnya setiap umat Islam mengambil ibrah hijrah dalam pembangunan ummah. Pembangunan ummah MADANI menepati elemen keterangkuman dalam membina masyarakat bertamadun, bukan sahaja dari aspek fizikal, malah melahirkan modal insan yang cemerlang dari aspek spiritualnya.

4. Sehubungan itu, sambutan pada kali ini akan mengetengahkan semangat hijrah khususnya usaha serta pengorbanan yang dirukuni oleh Rasulullah SAW dalam membangunkan ummah yang berteraskan kepada nilai-nilai murni, berpaksikan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, kehormatan, keyakinan dan ihsan khususnya dalam meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian.
 
5. Naratif pembangunan ummah juga amat signifikan dengan konsep ‘Islam Mekar di Bumi Malaysia’ mengambil kira aspirasi yang jelas tentang peranan dan tanggungjawab bersama mendaulatkan kedudukan agama Islam di negara kita yang tercinta ini.

PENGANUGERAHAN TOKOH MA’AL HIJRAH

6. Seperti kelaziman, penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan dianugerahkan kepada tokoh yang dipilih, berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara. Pemilihan tokoh juga mengambil kira pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi.

PENGISIAN AKTIVITI SAMBUTAN MA’AL HIJRAH

7. Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2025 (Khamis) jam 6.30 petang. Majlis ini akan dihadiri oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Majlis akan dipimpin oleh Al-Fadhil Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni, Imam Besar Masjid Negara. Orang ramai dijemput hadir mengimarahkan majlis dan bersama-sama memohon perlindungan dan keselamatan negara kita yang tercinta ini. Tausiyyah khas hijrah akan disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

8. Kemuncak Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M ini adalah penyampaian Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan diikuti dengan Pengurniaan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

9. Seramai 8,000 orang tetamu dijangka akan hadir, terdiri daripada Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri, Perwakilan Asing di Malaysia, Ketua-ketua Jabatan / Agensi Kerajaan, pegawai-pegawai kanan Kerajaan, kontinjen yang mengambil bahagian dan juga orang awam.

10. Sambutan Ma’al Hijrah yang disambut saban tahun di negara kita ini tentunya mempunyai pengertian tersendiri bagi mendidik masyarakat agar sentiasa menghayati peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW mempunyai banyak pengajaran dan nilai yang dapat kita contohi dan aplikasikan dalam hidup pada masa ini.

11. Semoga sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini membawa sinar baharu kepada umat Islam di negara kita khususnya, dan di seluruh dunia amnya, dalam menghayati semangat kesepaduan ummah sebagaimana yang diasaskan oleh Baginda Rasulullah SAW di Bumi Madinah. Sesungguhnya, penganjuran majlis sebegini membuktikan syiar Islam terus disemarakkan dan mekar di negara ini.

12. Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M ini akan disiarkan secara langsung menerusi RTM - saluran TV 1 dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah. Majlis ini juga boleh ditonton secara ‘livestreaming’ menerusi media sosial JAKIM. Selain itu, beberapa radio RTM juga membuat lintas langsung iaitu Salam FM, KL FM, Nasional Fm, Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).

13. Semua rakan media dijemput hadir bagi mengadakan liputan bagi Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M di MITEC, Kuala Lumpur dan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun di Masjid Negara, Kuala Lumpur yang penuh keberkatan ini.

Sekian, terima kasih.

DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
24 JUN 2025 / 27 ZULHIJAH 1446