
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
DAKWAAN KELEWATAN PEMPROSESAN PERMOHONAN SIJIL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA (SPHM) YANG TIMBUL SUSULAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA
Bil. 30/2025

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin merujuk kepada laporan sebuah akhbar tempatan bertajuk “JAKIM siasat isu hospital beri kontrak catering RM25.64 juta kepada syarikat tiada sijil halal” (https://www.sinarharian.com.my/article/739845/berita/nasional/jakim-siasat-isu-hospital-beri-kontrak-katering-rm2564-juta-kepada-syarikat-tiada-sijil-halal) yang disiarkan pada 22 Julai 2025.
2. Susulan laporan tersebut, JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan pihak Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) untuk mendapatkan penjelasan terperinci bagi memahami dan mengenal pasti isu sebenar di sebalik dakwaan berkaitan kelewatan mendapatkan pegawai bertanggungjawab (PIC) daripada JAKIM bagi tujuan proses pensijilan halal Malaysia seperti yang dilaporkan (https://www.malaysiakini.com/news/749968) berkaitan kelewatan JAKIM punca masalah sijil halal katering.
3. Dalam pertemuan tersebut, pihak HCTM telah memberikan penjelasan terperinci berhubung isu yang dibangkitkan. Difahamkan bahawa telah berlaku salah faham mengenai pegawai yang dimaksudkan sebagai Pegawai Bertanggungjawab (PIC), di mana individu tersebut sebenarnya bukan daripada pihak JAKIM, sebaliknya merupakan PIC dari pihak syarikat yang terlibat dalam proses pensijilan halal. PIC sedia ada di pihak syarikat pada ketika itu sedang bercuti bersalin, dan pihak syarikat telah mencalonkan seorang pengganti sebagai PIC baharu. Pihak HCTM turut memaklumkan, pegawai yang baharu dilantik ini memerlukan latihan terlebih dahulu bagi membolehkan beliau melaksanakan tugas sebagai Eksekutif Halal yang bertanggungjawab menguruskan permohonan pensijilan halal syarikat.
4. Justeru itu, JAKIM turut mengambil peluang ini untuk memberikan penerangan menyeluruh berkenaan proses permohonan SPHM bagi memperkukuh kefahaman dan memastikan kredibiliti sijil halal sentiasa terpelihara.
5. Sebagai badan berautoriti dalam pensijilan halal negara, JAKIM kekal komited memastikan setiap aspek pengurusan SPHM dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan piawaian yang ditetapkan. Langkah ini sejajar dengan prinsip Tadbir Urus Baik dan Amanah dalam kerangka Malaysia MADANI, yang menekankan kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan awam. Dalam masa yang sama, pihak HCTM turut menyatakan komitmen berterusan dalam memastikan pematuhan terhadap semua keperluan dan prosedur pensijilan halal Malaysia sentiasa diperkukuh demi kemaslahatan ummah, selaras dengan nilai Kesejahteraan dan Ihsan yang menjadi teras kepada agenda MADANI.
6. JAKIM juga sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan pensijilan halal Malaysia, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendidik, memudah cara dan memperkasa pematuhan halal di semua peringkat. Pendekatan inklusif ini turut mencerminkan prinsip keterbukaan yang menyokong aspirasi kerajaan dalam dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan, cakna dan bertanggungjawab.
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
25 JULAI 2025M / 29 MUHARAM 1447H