
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1447H / 2025M
Bil. 39/2025
1. Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M pada 12 Rabiulawal 1447H bersamaan 5 September 2025 (Jumaat) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Malaysia Agro Exposition Park Serdang) bermula jam 7.30 pagi.
2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri dijadual hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini. Selain itu, tetamu kehormat lain yang dijadual hadir adalah YAB Timbalan-timbalan Perdana Menteri, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta dif-dif kenamaan lain
3. Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah merupakan salah satu acara rasmi Kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.
4. Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini melibatkan penyertaan seramai 6,165 orang dari 120 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta. Kemuncak Sambutan Maulidur Rasul SAWPeringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M ini adalah Pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
PENGURNIAAN ANUGERAH SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN KRITERIA PENGANUGERAHAN
5. Majlis pada kali ini akan mengangkat tokoh-tokoh unggul dalam masyarakat dengan menghargai jasa mereka melalui penganugerahan Anugerah Perdana kepada seorang tokoh terpilih serta Anugerah Maulidur Rasul SAW kepada enam (6) individu. Penganugerahan ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang kepakaran masing-masing serta memberi sumbangan bermakna ke arah pembangunan ummah dan negara sekali gus memberi impak positif terhadap kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat secara keseluruhan.
TEMA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW
6. Tema sambutan tahun ini ialah “Membangun Ummah MADANI”. Justeru, mesej yang ingin disampaikan adalah mengenai pentingnya kefahaman dan penghayatan terhadap hijrah serta kepimpinan Rasulullah SAW yang penuh dengan keadilan dan ihsan dalam usaha membangun ummah.
7. Hijrah dan kepimpinan Rasulullah SAW amat signifikan dalam pembangunan Ummah MADANI sebagai satu pendekatan yang sangat bermakna, kerana kedua-duanya berkongsi nilai asas yang sama iaitu perubahan ke arah kebaikan, pembentukan masyarakat yang adil dan beradab serta kepimpinan yang penuh keadilan dan ihsan. Sudah tentu, ia secara langsung menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membangunkan ummah MADANI dan terus mengangkat martabat dan syiar Islam supaya Islam terus mekar di bumi Malaysia.
7. Hijrah dan kepimpinan Rasulullah SAW amat signifikan dalam pembangunan Ummah MADANI sebagai satu pendekatan yang sangat bermakna, kerana kedua-duanya berkongsi nilai asas yang sama iaitu perubahan ke arah kebaikan, pembentukan masyarakat yang adil dan beradab serta kepimpinan yang penuh keadilan dan ihsan. Sudah tentu, ia secara langsung menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membangunkan ummah MADANI dan terus mengangkat martabat dan syiar Islam supaya Islam terus mekar di bumi Malaysia.
INSPIRASI KEPIMPINAN RASULULLAH SAW DAN PEMILIHAN KONSEP TEMA MASJID QUBA
8. Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan mengetengahkan kepimpinan Rasululah SAW yang penuh dengan keadilan dan ihsan dalam membentuk ummah, bermula dengan perjalanan hijrah agung sehingga terbentuknya Piagam Madinah, sebuah perlembagaan bertulis pertama di dunia yang menjadi teras peradaban Islam. Penulisan perlembagaan ini menggambarkan hakikat prinsip keadilan, tanggungjawab bersama dan hak asasi setiap kumpulan, selari dengan nilai ihsan (kebaikan) dan keadilan kepimpinan yang ditekankan dalam Islam.
9. Dalam menggubal Piagam Madinah atau dikenali sebagai Perlembagaan Madinah, langkah pertama yang diambil oleh Rasulullah SAW iaitu membina Masjid Quba menunjukkan keperluan memahami naratif seni Masjid Quba dengan konteks spiritual yang mendalam. Justeru, senibina Masjid Quba dipilih sebagai konsep tema (look and feel) Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H / 2025M.
9. Dalam menggubal Piagam Madinah atau dikenali sebagai Perlembagaan Madinah, langkah pertama yang diambil oleh Rasulullah SAW iaitu membina Masjid Quba menunjukkan keperluan memahami naratif seni Masjid Quba dengan konteks spiritual yang mendalam. Justeru, senibina Masjid Quba dipilih sebagai konsep tema (look and feel) Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H / 2025M.
10. Masjid Quba dibina dalam tempoh hijrah disempurnakan dan tempoh Sahifah Madinah dimeterai yang mana ianya menandakan permulaan institusi fizikal yang menyokong struktur sosial dan politik Islam. Naratif seninya bukan sahaja tertumpu kepada aspek seni bina fizikal, tetapi juga kepada nilai simbolik yang tersirat dalam setiap elemen yang membentuk identiti masjid ini.
ACARA-ACARA MENARIK SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW
11. Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini akan diadakan beberapa acara sampingan :-
(i) Perarakan kontinjen dengan alunan salawat merupakan satu usaha membudayakan amalan salawat ke atas Rasulullah SAW, yang mana secara tidak langsung kita akan menginsafi betapa besarnya pengorbanan Rasulullah SAW demi umatnya. Ini akan menimbulkan rasa rindu dan kasih yang mendalam, serta mendorong kita untuk lebih berusaha mengikut sunnah dan ajaran Baginda dalam kehidupan harian;
(ii) Pameran Al-Falah menampilkan sebanyak 15 reruai pameran yang disertai oleh agensi-agensi di bawah YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta institusi-institusi berkaitan. Pelbagai perkhidmatan dan aktiviti interaktif turut ditawarkan di setiap reruai bagi memberi pengalaman bermakna serta manfaat langsung kepada para pengunjung; dan
(iii) Program – program anjuran masjid utama JAKIM iaitu di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul SAW pada tahun ini
HARAPAN
12. Nyatanya, penganjuran Sambutan Maulidur Rasul SAW oleh Kerajaan Persekutuan setiap tahun merupakan satu manifestasi komitmen Kerajaan untuk terus memperkasa syiar Islam di negara ini.
13. Ini kerana ia turut menjadi wadah dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW serta sebagai simbol kebersamaan yang inklusif khusus dalam menghadapi cabaran dunia semasa sejajar dengan elemen yang terangkum dalam konsep Malaysia MADANI yang diangkat dalam kepimpinan YAB Perdana Menteri. Oleh itu, JAKIM berharap agar sambutan ini dapat menyemai serta memperkukuh rasa cinta terhadap Rasulullah SAW dan agama Islam dalam kalangan masyarakat. Seterusnya, ia diharapkan dapat melahirkan lebih ramai generasi al-Falah yang memiliki nilai-nilai murni dan positif untuk memacu kemajuan ummah.
PENUTUP
14. JAKIM dengan sukacitanya menyeru dan menjemput seluruh masyarakat hadir memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 6 September 2025 bermula jam 7.30 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di MAEPS, Serdang.
15. Selain menghadiri secara fizikal, orang ramai turut berpeluang mengikuti siaran langsung majlis ini melalui saluran televisyen nasional RTM TV1 serta platform media sosial rasmi JAKIM. Majlis ini juga disiarkan menerusi Radio Nasional FM dan Salam FM, termasuk beberapa saluran radio lain di bawah RTM seperti Ai FM (bahasa Mandarin), Traxx FM (bahasa Inggeris), Minnal FM (bahasa Tamil), serta Asyik FM (bahasa Orang Asli). Usaha ini merupakan komitmen berterusan untuk memastikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW dapat diakses oleh seluruh lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, sekaligus memperluas capaian mesej dakwah dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
16. Sehubungan dengan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan sambutan ini.
Sekian
DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
4 SEPTEMBER 2025M / 11 RABIULAWAL 1447H