Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
15 Januari 2021 – Lawas : Pemerkasaan ilmu pengetahuan secara berterusan dalam kehidupan seorang muslim merupakan satu tuntutan di dalam Islam. Ini kerana corak kehidupan manusia adalah bergantung sepenuhnya kepada ilmu yang diperolehi secara formal, informal dan non formal. Menyahut seruan ini, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lawas mengorak langkah awal bagi tahun 2021 dengan menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan kakitangan dalaman dan syarikat swasta yang berkhidmat di jabatan ini melalui program Kuliah Fitrah Siri 1.

Objektif program latihan dalam kategori fungsian ini ialah sebagai nilai tambah kefahaman dan penghayatan peserta kepada ajaran Islam melalui kaedah bedah kitab terpilih iaitu Syarah Hadith 40 Imam Nawawi disampaikan oleh Ustaz Sheikh Hadzrei Adam bin Seberi selaku Pengarah ILIM Kampus Lawas kepada peserta sebagai santapan rohani yang bermakna.

Bersesuaian dengan matan hadith yang pertama iaitu setiap amalan bergantung kepada niat masing-masing, Beliau turut menasihatkan kepada semua kakitangan agar menerapkan nilai-nilai integriti dan bekerja dengan ikhlas kerana Allah SWT. Para peserta juga diberikan peluang untuk bersoal jawab berkaitan tajuk yang dibincangkan dan kaitannya dalam kehidupan seharian.

Memperkasa Ilmu Melalui Latihan Islam 1

Memperkasa Ilmu Melalui Latihan Islam 2

Memperkasa Ilmu Melalui Latihan Islam 3