WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

MKI 67 1

 

Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-67 dengan jayanya telah diadakan pada hari Khamis, 12 Muharram 1441 Hijrah bersamaan 12 September 2019M. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Ia turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dr. Maszlee bin Malik Menteri Pendidikan dan 42 orang ahli mesyuarat yang hadir terdiri daripada Menteri Besar/ Ketua Menteri Negeri-negeri seluruh Malaysia, Ahli-ahli Dilantik MKI dari kalangan pakar akademik dan profesional serta para pembentang kertas.

Mesyuarat pada kali ini telah membincang dan memutuskan dua (2) kertas cadangan iaitu mengenai Penyeragaman Undang-Undang Profesion Guaman Syarie di Negeri-negeri seluruh Malaysia yang dibentangkan oleh YBrs. Tuan Ramzi bin Osman, Penasihat Undang-Undang JAKIM. Kertas cadangan yang kedua membincangkan mengenai penubuhan Majlis Tahfiz Negara (MTN) yang dibentangkan oleh YBhg. Datuk Mohd. Nordin bin Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM.

Di samping itu, Majlis turut mengambil maklum mengenai tujuh (7) kertas makluman antaranya keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-115 berhubung Sighah Keputusan Analisis Hukum Konsep Minda Bawah Sedar dan Hukum Hipnosis dalam Latihan Minda Bawah Sedar sebagai panduan kepada para penyedia latihan dan kursus berkaitan kerana ia menyentuh aspek akidah dan syariat Islam. Seterusnya, Majlis mengambil maklum mengenai Isu-Isu Etika dan Hukum Berkaitan Penjagaan Akhir Hayat (End Of Life Care) dalam Konteks Malaysia. Dalam aspek ini, para pesakit perlu disantuni dengan rahmah. Begitu juga mengenai pengkhususan pengendalian kes hadhanah dan nafkah serta pewujudan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Selain itu, Majlis turut dimaklumkan mengenai Laporan Status Pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), Pencapaian dan Hala Tuju Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Laporan Pencapaian dan Impak Keberkesanan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA), Faktor Perkahwinan Warga Malaysia di Selatan Thailand dan Penganjuran Program Sambutan Jubli Emas MKI.

Tujuan utama MKI ditubuhkan adalah untuk mengendalikan pentadbiran agama Islam di peringkat pusat bagi menyelaras segala tugas secara bersama dengan Majlis Agama Islam setiap negeri. Demi melaksanakan tujuan ini, MKI bertanggungjawab membincang, menimbang dan menguruskan perkara-perkara yang dirujukkan kepada MKI oleh Majlis Raja-Raja dan memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri. Dengan adanya MKI, kerajaan berharap hal-hal yang berkaitan dengan Agama Islam di seluruh negara akan dapat diseragamkan (Arkib Negara). Hal ini selaras dengan hasrat Pengerusi MKI yang pertama, Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dalam perutusan beliau sempena Persidangan Pertama MKI pada 5 Februari 1970 di Kuala Lumpur:

 

“Dengan Taufik dan lorongan Allah, maka Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, Malaysia Barat, mengadakan sidang-nya yang pertama pada hari ini. Persidangan hari ini ada-lah merupakan suatu titik sejarah yang penting dalam usaha meninggikan taraf Ugama Islam sebagai Ugama rasmi negara kita ini...Pembentukan Majlis ini, dengan kurnia persetujuan Majlis Raja-Raja, ia-lah suatu langkah yang besar untuk menuju penyelarasan (co-ordinasi) urusan Ugama Islam, yang memenohi pula hasrat umat Islam, di-seluroh Tanah Ayer. Majlis ini ada-lah merupakan foram tempat berunding untuk menyelaraskan segala perkara yang bersangkut paut dengan urusan Ugama Islam, baik mengenai peratoran, undang2 dan dasar2 yang di-laksanakan.”

  

 

Laporan disediakan oleh:

 

Sekretariat MKI

Bahagian Dasar Kemajuan Islam

 

MKI 67 2

MKI 67 3

MKI 67 4

MKI 67 5

MKI 67 6

MKI 67 7




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 12 November 2019.
Jumlah Pelawat :12353645