Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah, Unit Komunikasi Korporat
KOMPLEKS ISLAM PUTRAJAYA, 8 FEBRUARI 2021( ISNIN) : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia melalui Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-YWM telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-YWM dan Pelepasan Konvoi Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir JAKIM-YWM ke Kampung Sungai Jengei, Dungun, Terengganu.

Majlis telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para penyumbang Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-YWM yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat dan orang perseorangan. Beliau juga menyeru agar terus memberikan sumbangan ke tabung ini bagi menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan program-program bantuan pasca banjir di negeri-negeri yang terlibat.

Dalam majlis yang sama beliau yang diiringi YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh, Ketua Pengarah JAKIM dan YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM 15,000.00 kepada Pasukan Pengurusan Jenazah Covid-19 JAWI, sumbangan berjumlah RM 24,400.00 kepada mahasiswa mahasiswi B40 dan Asnaf Program Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam UKM dan sumbangan RM 2,000.00 diberikan kepada En. Abdul Taib bin Abdul Kadir, berasal dari Sarawak yang sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau turut menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan dan bendera Negeri Terengganu kepada Yang Berusaha Tuan Haji Hashim bin Salleh Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM selaku Ketua Konvoi Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir JAKIM-YWM ke Kampung Sungai Jengei, Dungun, Terengganu serta menyempurnakan acara Flag off konvoi tersebut. Sebanyak RM 60,000.00 telah diperuntukkan merangkumi barang-barang keperluan seperti dapur gas, tilam, toto, bantal, keperluan wanita dan kanak-kanak serta pek barangan makanan kering untuk disampaikan kepada 200 ketua isi rumah di daerah tersebut. Program ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Agama Islam Daerah Dungun, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu dan Pejabat Daerah Dungun Terengganu.

Hadir sama YBrs. Puan Hajjah Hakimah binti Mohd. Yusof Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBrs. Tuan Haji Fuad bin Apandi Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM, YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), YBrs. Dr. Rosmawati binti Mohamad Rasit Pengerusi Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, UKM dan YBrs. Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni Imam Besar Masjid Negara.

Penyampaian Sumbangan Tabung Musaadah JAKIM YWM Pasca Banjir Dungun Terengganu 1

Penyampaian Sumbangan Tabung Musaadah JAKIM YWM Pasca Banjir Dungun Terengganu 2

Penyampaian Sumbangan Tabung Musaadah JAKIM YWM Pasca Banjir Dungun Terengganu 3

Penyampaian Sumbangan Tabung Musaadah JAKIM YWM Pasca Banjir Dungun Terengganu 4

Penyampaian Sumbangan Tabung Musaadah JAKIM YWM Pasca Banjir Dungun Terengganu 5