Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 22 Februari 2021 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi telah mengadakan Webinar Pengukuhan Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Perkhidmatan Hal Ehwal Islam pada 22 Februari 2021. Webinar ini telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Manakala ucapan aluan telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Majlis Perasmian yang diadakan secara dalam talian ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan Atasan JAKIM, Ketua-ketua Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Mufti Negeri. Objektif utama webinar ini ialah untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan profesionalisme tadbir urus Perkhidmatan Hal Ehwal Islam.

Sesi ceramah ini telah menampilkan Tuan Norazmi bin Ibrahim dari Bahagian Audit Dalam, Jabatan Perdana Menteri selaku penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang pengauditan pengurusan kewangan. Seramai 154 orang peserta dalam talian telah menyertai webinar ini yang terdiri daripada wakil-wakil Agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAIN, MAIN dan penjawat awam daripada pelbagai kementerian.

Secara keseluruhan, program ini memberi pendedahan mengenai mekanisme kawalan dalaman melalui amalan pengauditan untuk menilai tahap pematuhan pengurusan kewangan di pusat-pusat tanggungjawab (PTJ). Peserta diperjelaskan mengenai elemen-elemen pengurusan kewangan dan matriks pematuhan pengurusan kewangan berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Penceramah turut berkongsi isu-isu dan penemuan audit yang pernah berlaku untuk peringatan bersama dan penambahbaikan oleh agensi di masa akan datang.

Peserta menunjukkan minat melalui sesi soal jawab yang responsif dan maklum balas positif terhadap program ini. Insya Allah, JAKIM melalui ILIM akan melaksanakan Kursus Pengurusan Pusat Tanggungjawab (PTJ) kepada pegawai-pegawai PTJ jabatan/agensi agama supaya dapat membincangkan elemen-elemen dalam pengurusan kewangan dengan lebih terperinci, seterusnya meningkatkan pematuhan dan kompetensi pegawai PTJ dalam pengurusan kewangan.

Webinar Pengukuhan Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Perkhidmatan HEI 1

Webinar Pengukuhan Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Perkhidmatan HEI 2

Webinar Pengukuhan Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Perkhidmatan HEI 3

Webinar Pengukuhan Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Perkhidmatan HEI 4

Webinar Pengukuhan Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Perkhidmatan HEI 5

Webinar Pengukuhan Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Perkhidmatan HEI 6