Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Jakim melalui Cawangan Dakwah Khas, Bahagian Dakwah bersama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia telah mengadakan Bengkel Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) “Move Forward bertempat di Bilik ICT, Bahagian Pengurusan Maklumat, Aras 1, Jakim. Program yang diadakan pada 15 Mac 2016 (Selasa) telah dihadiri seramai 50 orang Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) seluruh Malaysia. Bengkel yang diadakan sehari ini merupakan proses permulaan bagi penetapan perjawatan PMOA yang telah berkhidmat selama 15 tahun dan ke atas. Mereka merupakan antara 52 orang PMOA yang layak dan diperakui oleh SPA untuk proses jawatan tetap PMOA.
 
Bertugas di perkampungan Orang Asli yang ada antaranya berada jauh di belantara merupakan cabaran besar kepada PMOA. Berkhidmat dengan perjawatan Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S17 (PMOA) bertaraf “contract of service” tanpa elaun khas seperti yang dinikmati oleh setengah penjawat awam lain yang bertugas di pedalaman sedikit pun tidak menjadi halangan kepada mereka. Ada antara mereka yang telah berkhidmat selama hampir 23 tahun namun tetap tabah dalam melaksanakan tugas dan amanah untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman. Namun, bengkel yang diadakan ini memberi momentum dan lonjakan semangat kepada mereka yang selama ini tidak mengenal erti putus asa dalam mendidik masyarakat Orang Asli mengenal agama. Sememangnya layak bagi mereka untuk merasai tahap yang lebih baik dalam perkhidmatan demi masa depan seperti mana yang mereka harapkan sejak sekian lama.
 
Dalam memastikan proses penetapan perjawatan PMOA berjalan sempurna, beberapa perkara telah dilaksanakan oleh mereka dalam bengkel ini. Antaranya pengisian Borang SPA8i melalui sistem online, pengisian Borang Tapisan Keutuhan dan juga e-Vetting. Bengkel yang berlangsung dalam 2 sesi ini turut dibantu pegawai daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang dijemput khas untuk memberikan taklimat dan penerangan serta tunjuk ajar kepada PMOA yang terlibat.
 
Pada majlis penutupan, YBhg Ustaz Mohd Zaidi bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Dakwah Khas, Bahagian Dakwah menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua PMOA yang terlibat dalam bengkel kali ini. Ini adalah permulaan kepada proses penetapan jawatan PMOA dan berharap semua peserta terus bersemangat dalam melaksanakan tanggungjawab dan berdoa semoga usaha yang dilakukan ini dipermudahkan Ilahi.
 
bengkel pmoa2016 1
 
bengkel pmoa2016 2
 
bengkel pmoa2016 3
 
bengkel pmoa2016 4
 
bengkel pmoa2016 5