Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:48 Syuruk : 7:08 Zohor : 1:10 Asar : 4:32 Maghrib : 7:06 Isyak : 8:20

Daripada Ibn ‘Abbas RA berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk serta untuk menjadi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh sebab itu, sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka jadilah ia zakat fitrah yang diterima. Sesiapa yang menunaikannya sesudah solat hari raya maka jadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.” (Hadith riwayat Abu Daud, No.1609, Ibn Majah, No. 1827, al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, No. 7513, al-Daruqutni dalam sunannya, No. 2042)

 

Matan Hadith:

 

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَال :فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ .

]سنن أبي داود , كتاب الزكاة , باب زكاة الفطر , حديث رقم 1609 , عن ابن عباس رضي الله عنه[

 
Pengajaran Hadith :
  1. Zakat daripada sudut bahasa adalah keberkatan, kesucian, kebaikan dan berkembang. Dinamakan zakat kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya daripada segala kerosakan dan kebinasaan.
  2. Antara hikmah disyariatkan zakat ialah, pengurusannya mampu memperbaik kedudukan masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat sehingga menjadi seolah-olah satu tubuh. Selain dari itu, ia juga dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil. Ia juga merupakan benteng keamanan dalam sistem ekonomi Islam dan jaminan ke arah kestabilan dan kesinambungannya.
  3. Sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat, bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan dia hendaklah diminta supaya bertaubat. Adapun orang yang enggan membayar zakat tetapi masih tetap mengakui kewajipannya, maka dia berdosa kerana tindakannya itu. Walau bagaimanapun dia tidaklah sampai terkeluar dari agama Islam. Oleh yang demikian, pemerintah wajib mengambil zakat hartanya secara paksa sekaligus menjatuhkan hukuman takzir (pengajaran).
 
Sumber Rujukan :

1- Kitab Sunan Abu Dawud

2- Kitab Aunu al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud Li al-Syeikh Syafartul Haq Muhammad Asyraf Ibn Ali Haidar al-Shiddiqi al-Azim Abadi

3- Kitab Bazlu al-Majhud Fi Halli Abi Dawud Li al-Allamah al-Saharanfuri

4- Kitab Mirqatul al-Mafatih Syarh al-Misykatu al-Masobih Li al-Syeikl Ali al-Qari




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 11 December 2018.
Jumlah Pelawat :12248015