Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:51 Syuruk : 7:11 Zohor : 1:13 Asar : 4:36 Maghrib : 7:09 Isyak : 8:24

Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)." (Hadith riwayat Ad-Darimi, No: 15, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No: 98, beliau berkata: " Hadith ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari & Muslim.

 

Matan Hadith:

 

عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ, إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ.

]التخريج: سنن الدارمي , المقدمة , باب كيف كان أول شأن النبي صلى الله عليه وسلم ، حديث رقم 15 ، عن أبي صالح رضي الله عنه[

 
 
Pengajaran Hadith :
 
  1. Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Anbiya', ayat 107. Alam bermaksud seluruh makhluk ciptaan Allah SWT. Dinamakan sebagai Alam kerana ia adalah alamat atau tanda kewujudan, keagungan dan kekuasaan Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam.
  2. Rahmat adalah kasih sayang. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.
  3. Rahmat yang dibawa oleh Nabi SAW mengatasi segala pemikiran dan sempadan berpandukan wahyu dan hidayah Allah SWT, bukan mengikut hawa nafsu dan logik akal. Hanya dengan wahyu dan petunjuk Allah SWT sahajalah yang akan membawa manusia kepada jalan kebenaran dan kejayaan. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah beramal dengan sunnah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW, para sahabat baginda dan para salafusoleh yang telah mendapat petunjuk daripada Allah SWT.
 
Sumber Rujukan :
 
  1. Kitab Sunan Ad-Darimi
  2. Kitab Al-Mustadrak 'Ala Al-Sahihain Li Al-Hakim
  3. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qa
  4. Kitab Syarh Tafsir Ibnu Kathir Li Al-Rajihi
  5. Kitab Tafsir Al-Kabir Li Al-Razi
  6. Kitab Al-Jami‘ Li-Ahkam Li Al-Qurtubi
  7. Kitab Al-Syifa’ Li Al-Qadi Al-‘Iyad
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 19 December 2018.
Jumlah Pelawat :12249933