jata negara small

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN UCAPAN BAJET TAHUN 2011 OLEH YAB PERDANA MENTERI

­­­­­­­­­


1. Saya amat menghargai sentuhan pembentangan Bajet YAB Perdana Menteri melalui strategi keempat di bawah pasaran modal Islam iaitu menjadikan Malaysia sebagai satu platform perniagaan komoditi patuh syariah yang pertama seumpamanya di dunia dengan menggalakkan inovasi dalam produk sekuriti Islam. Pengumuman ini juga menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dan pesaing yang berwibawa dalam industri kewangan Islam di peringkat global.

2. Seterusnya saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah memberi pengiktirafan kepada 33,664 ribu orang guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang telah diumumkan pertambahan elaun kepada RM 800 berbanding RM 500 sebulan berkuatkuasa pada Januari 2011 ini.

3. Ini merupakan satu berita baik yang sangat dinanti-nantikan oleh semua guru KAFA semenjak pertemuan antara YAB Perdana Menteri dengan guru-guru KAFA di seluruh negara pada 15 Jun 2010 di Kuala Lumpur yang lalu. Pastinya ini membuktikan YAB Perdana Menteri dapat memahami denyut nadi kepayahan dan pengorbanan guru-guru KAFA sekaligus menepati janji dan menunaikannya genap 4 bulan selepas pertemuan bersejarah tersebut.

4. Sistem pendidikan KAFA ini harus dilihat sebagai satu program pendidikan terancang kearah pembangunan modal insan. Apatah lagi jumlah anak-anak yang sedang mengikuti program KAFA di seluruh negara ketika ini adalah melebihi 1.2 juta murid.

5. Seterusnya, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan kadar imbuhan bagi imam rakyat yang berkhidmat secara sukarela dan dilantik oleh negeri yang kini jumlahnya seramai 14,252 orang di seluruh negara. JAKIM melihat perkara ini sebagai satu pengiktirafan semangat kesukarelawanan dan kesabaran yang telah ditunjukkan oleh imam-imam rakyat ini. Selain itu, kita percaya melalui penghargaan ini, aktiviti pengimarahan masjid akan semakin rancak seiring menjadikan masjid dapat berfungsi sebagai institusi yang dominan dalam menyatukan masyarakat. Pengumuman tersebut telah menjadikan kadar imbuhan bagi Imam-imam rakyat yang di lantik dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 sebulan.

6. Kedua-dua pengumuman iaitu kenaikan elaun KAFA dan imbuhan imam ini hakikatnya bukan sahaja tepat pada masanya malah merupakan hadiah dan pengiktirafan kepada golongan pendidik dan pendakwah yang mempunyai pengaruh mereka yang tersendiri dalam masyarakat serta menyumbang ke arah arus pembangunan negara khususnya dalam pembangunan sosial.


7. Dalam masa yang sama, JAKIM juga amat mengalu-alukan pengumuman bantuan per kapita yang berjumlah RM95juta untuk sekolah-sekolah menengah dan rendah agama di seluruh negara. Pengumuman ini juga umpama hadiah kejutan untuk lembaga pengurusan sekolah agama yang turut memberi sumbangan besar dalam mendidik masyarakat dan menangani masalah gejala sosial.

8. Secara keseluruhannya JAKIM melihat pengumuman bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri semalam adalah pendekatan berimbang antara pembangunan fizikal dan modal insan sesuai dengan semangat surah Al-Qasas ayat 77 yang telah dibacakan oleh YAB Perdana Menteri di awal pembentangan beliau.

9. Atas kerjasama pihak media dapat mengeluarkan kenyataan ini untuk makluman kepada masyarakat umum diucapkan berbanyak-banyak terima kasih.


Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,

 
DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ

16 Oktober 2010