Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Musibah dalam kehidupan sebagai hamba adalah suatu perkara yang lumrah, bahkan ia sudah tertulis sebelum kejadian kita lagi. Dalam Islam, setiap musibah yang berlaku kepada hambanya, mesti ia mempunyai hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Firman Allah SWT:
 
‘’Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada mu, dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepada NYA kita dikembalikan).” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah: 155-158)
 
Justeru itu, atas nilai keprihatinan sebagai manusia, Jakim melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengadakan program sumbangan bantuan kepada semua mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Airport Lama, Tawau, Sabah pada 17 Feb 2016. Sumbangan ini adalah bagi meringankan perasaan duka dan menguatkan semangat dan sifat sabar mereka dalam menghadapi musibah yang Allah SWT berikan kepada mereka.
 
Kesemua mereka yang terlibat seramai 76 orang telah menerima bantuan, yang telah disampaikan oleh wakil daripada Jakim, Yayasan TAQWA, dan YB tempatan DUN N.60, Sebatik di Dewan Pejabat Perhubungan KAFA, Tawau, Sabah. Komitmen yang diberikan oleh para penerima sumbangan adalah sangat baik, sehingga memudahkan proses penyampaian sumbangan kepada mereka, berjalan dengan lancar.
 
Pihak Jakim sempat menyantuni penduduk tempatan. Daripada sumber yang diperoleh, kejadian berlaku pada sebelah pagi, dan kebakaran adalah berpunca daripada budak-budak membakar tilam, yang menyebabkan api marak dengan cepat, sehingga semua mangsa hilang rumah tempat berteduh. Mudah-mudahan Allah SWT menggantikan tempat berteduh yang lebih baik kepada mereka yang terlibat.
 
Allah SWT Maha Mengetahui setiap yang berlaku kepada hambanya. Sesungguhnya Allah SWT memberi ruang dan peluang kepada umat Islam yang lain, untuk membantu mereka yang terlibat, bagi menguji kita sebagai saudara sesama Islam, adakah kita prihatin atau tidak. Justeru itu, kepada pihak yang mampu membantu, gunakanlah peluang ini untuk kita mendapatkan pahala jariah daripada Allah SWT.
 
sumbangan kebakaran sabah 01
 
sumbangan kebakaran sabah 02
 
sumbangan kebakaran sabah 03
 
sumbangan kebakaran sabah 04
 
sumbangan kebakaran sabah 05
 
sumbangan kebakaran sabah 06
 
sumbangan kebakaran sabah 7
 
sumbangan kebakaran sabah 8