Kurator Berita : Bahagian Khidmat Pengurusan
PROGRAM FORUM PERDANA EHWAL ISLAM SEMPENA AMBANG TAHUN BARU 2016
 
Kuala Lumpur, 31 DISEMBER 2015 (Khamis) - Amalan penyampaian ilmu adalah satu amalan yang sangat mulia di sisi agama Islam. Bahkan Allah SWT akan mengangkat darjat orang yang mempunyai ilmu. Berdasarkan tuntutan inilah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengadakan program Forum Perdana Ehwal Islam sempena Ambang Tahun Baru bertempat di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Program ini juga adalah hasil kerjasama rapat dengan rakan korporat JAKIM iaitu Bank Mualamat Malaysia Berhad yang banyak memberi sumbangan dalam menganjurkan program-program berbentuk penyampaian ilmu kepada masyarakat. Malah, Forum ini telah diadakan secara siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia melalui Saluran TV1 (RTM).
 
Tajuk yang diketengahkan dalam forum sempena ambang tahun baru ini ialah ‘’Umurku Makin Tua’’ yang telah dikupas oleh panel yang tidak asing lagi di negara kita iaitu YBhg. S.S Dato’ Dr. Zulkifli bin Mohamad Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dan YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd. Fadzilah bin Kamsah, Pakar Motivasi manakala moderator forum ialah YBhg. Ustaz Mohd Hariri bin Mohamad Daud, Penolong Pengarah di Unit Indeks Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
 
Turut serta bagi memeriahkan program tersebut antaranya YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Hj. Mohd. Redza Shah bin Abdul Wahid, CEO Bank Muamalat Malaysia Berhad, YBhg.Dato’ Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, JAKIM, YBhg. Tn Haji Paimuzi bin Yahya, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan beberapa wakil daripada agensi DBKL dan MAIWP malah kehadiran daripada orang ramai adalah sangat memberangsangkan.
 
Apabila ilmu diketepikan daripada kehidupan maka lahirkan generasi yang bermusuhan antara satu lain untuk mencari habuan keduniaan. Justeru itu, marilah sama-sama kita mulakan budaya ilmu ini daripada keluarga, masyarakat dan seterusnya di peringkat negara kerana peninggalan kita dari dunia ke alam barzakh yang dihitung adalah antaranya ilmu yang bermanfaat kepada manusia lain. Seperti mana sabda Rasulullah SAW,yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”. (Riwayat Muslim). Mudah-mudahan usaha penyampaian ilmu kepada masyarakat ini dapat disuburkan lagi dalam membina masyarakat yang berbudaya ilmu pengetahuan.
 
FPEI Ambang Tahun Baru 2016 1
 
FPEI Ambang Tahun Baru 2016 2
 
FPEI Ambang Tahun Baru 2016 3