jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
PROGRAM HALAL WALK ABOUT DAN TREASURE HUNT
____________________________________________________________
 

Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menganjurkan Halal Walkabout & Treasure Hunt pada 11 November 2017 bertempat di Pasaraya Tesco Jelutong, Pulau Pinang.
 
Program yang telah diadakan ini turut mendapat kerjasama daripada syarikat Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd. Jakim dan JAIPP adalah merupakan organisasi yang bertanggungjawab dalam mengesahkan status halal kepada produk makanan dan barangan yang menepati kehendak syarak.
 
Program Halal Walkabout & Treasure Hunt yang telah dilaksanakan ini juga adalah merupakan usaha berterusan Jakim dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan memberi pendedahan mengenai isu halal terkini kepada masyarakat.
 
Program kali ini turut dijayakankan oleh seramai 150 orang peserta yang dipilih dikalangan warga pendidik negeri Pulau Pinang. Mereka adalah merupakan individu yang paling hampir dengan masyarakat khususnya anak-anak kecil dan para remaja.
Guru-guru memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan ilmu demi mendidik generasi masa hadapan, malah peranan inilah yang menjadikan mereka antara faktor penting sebagai agen penyebaran maklumat tepat berkaitan halal kepada masyarakat.
 
Penglibatan pihak industri dalam menjayakan program ini juga amatlah dialu-alukan dan dilihat sebagai tunjang yang memperkukuhkan perkembangan industri halal serta memacu negara ke arah negara maju selaras dengan Transformasi Negara 2050 (TN50) .
 
Menerusi program kerjasama yang dijalinkan ini, pihak industri berpotensi untuk mengeratkan hubungan dengan pihak berwibawa dan masyarakat.

Jakim amat berharap pihak media dapat membuat liputan sepanjang program berkenaan berlangsung kerana masyarakat perlu maklum akan aktiviti dan kempen kesedaran yang dijalankan dalam memastikan informasi terkini dapat disampaikan kepada umum dan bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat.
 
Sekian.
 
 
TAN SRI DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kompleks Islam Putrajaya
11 November 2017
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 23 November 2017.
Jumlah Pelawat :12151514