WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN
 
MAJLIS SAMBUTAN MA’AL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN 1441H/2019M
_____________________________________________________________________
 
1. Sukacita dimaklumkan bahawa Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M akan diadakan pada 1 Muharram 1441H bersamaan 1 September 2019M (Ahad) bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya bermula jam 9.30 pagi. Majlis sambutan ini akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Turut dijadualkan hadir adalah YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri dan YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, dif-dif jemputan dan Duta-Duta Luar Negara.
 
 
Tema Penganjuran Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan.
 
2. Tema Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun ini ialah “Negara Rahmah Ummah Sejahtera”. Islam merupakan agama rahmah yang mengajak manusia untuk saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan. Kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep rahmah yang ditekankan dalam al-Quran.
 
3. Konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa oleh Baginda SAW ini merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk sikap adil, berkasih sayang, bertolak ansur, bersangka baik, berlemah lembut, perdamaian dan harmoni. Dalam membina dan menyuburkan suasana kehidupan yang harmoni, pembangunan kerangka konsep “Rahmatan Lil ‘Alamin” di Malaysia seharusnya mengambil kira asas-asas konsep tersebut seperti yang termaktub di dalam al-Quran dan Hadith. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk berusaha membawa agama Islam ini agar dapat difahami dengan baik oleh golongan bukan Muslim sehingga mereka berminat untuk mendalami Islam.
 
4. Dengan sifat rahmah persengketaan dapat dileraikan dan kekusutan dapat dirungkaikan serta masyarakat dapat mencapai keharmonian dan kesejahteraan. Sifat rahmah adalah bukti ketingggian akhlak dan keperibadian unggul sesebuah masyarakat. Semoga dengan penghayatan konsep rahmah oleh setiap individu Muslim, Malaysia dapat menjadi model negara Islam terbaik dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara-negara Islam dan negara bukan Islam sedunia. Pelaksanaan konsep rahmah ini juga sudah pasti masyarakat dapat menikmati kehidupan yang sejahtera.
 
 
Penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M
 
5. Kemuncak bagi Majlis Sambutan Ma’al Hijrah ini adalah penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M. Pada tahun ini, Jawatankuasa Induk bersetuju untuk menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada seorang tokoh ilmuan dan pemikir tersohor tanahair. Manakala seorang tokoh antarabangsa juga akan turut dianugerahkan pada tahun ini.
 
6. Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman yang luas, mempunyai sifat dan peribadi yang unggul serta telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam. Tokoh juga telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan ummah selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.
 
7. Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM 100,000.00, pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia.
 
8. Tokoh-tokoh ini akan diundang menyampaikan syarahan dalam 1st International Forum on Islamic Thought (1st I-FIT) : Revitalizing Maqasid Syariah Towards Compassionate Governance yang akan diadakan pada 3 September 2019 di Putrajaya.
 
 
Ambang Ma’al Hijrah 1441H pada 31 Ogos 2019
 
9. Bersempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M ini, JAKIM akan turut menganjurkan Program Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah 1441H secara langsung di Studio RTM Angkasapuri pada jam 6 petang serta Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun secara lintas langsung di Masjid Negara oleh Imam Besar Masjid Negara. Seterusnya akan diadakan Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat. Orang ramai dijemput hadir.
 
10. Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah. Radio Nasional FM dan Web TV JAKIM akan turut membuat liputan secara langsung. Selain itu, beberapa radio RTM juga akan membuat lintas langsung iaitu Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).
 
11. Sehubungan itu, dimohon jasa baik pihak media untuk membuat hebahan dan liputan bagi penganjuran program ini.
 
Sekian.
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah JAKIM
27 Zulhijjah 1440H
28 Ogos 2019M
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 11 November 2019.
Jumlah Pelawat :12353386