jata negara small

KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

 

 BERKENAAN
 
 

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM KERJASAMA ANTARA JAKIM DENGAN UTEM DAN UNITEN

 
Bil. 8/2024


1.       Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara JAKIM dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi pelaksanaan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran. Majlis ini diadakan pada hari ini 5 Mac 2024 di Aras 9, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya.

2.       Bagi pihak JAKIM, dokumen MoA/MoU ini ditandatangani oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff. Sementara bagi pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula ditandatangan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr. Zulkifilie bin Ibrahim dan bagi pihak Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) akan ditandatangan oleh Profesor Dato' Ts. Dr. Mohd Zamri bin Yusoff yang menjalankan tugas Naib Canselor UNITEN.

3.       Program kerjasama antara JAKIM-UTeM ini telah bermula sejak tahun 2017 manakala kerjasama antara JAKIM-UNITEN pula telah bermula sejak tahun 2013 lagi. Majlis Menandatangani MoA/MoU pada hari ini merupakan penyambungan perjanjian antara kedua institusi memandangkan tempoh perjanjian sebelum ini telah tamat.
 
4.       Sehingga kini, Darul Quran JAKIM telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah institusi di seluruh Malaysia mengikut program pengajian sebagaimana berikut:

 A. PROGRAM DIPLOMA TAHFIZ AL-QURAN & AL-QIRAAT:

  1. Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Pahang;
  2. Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MAIK) Kelantan;
  3. Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Perak;
  4. Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) Kedah;
  5. Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN);
  6. Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah (ITQAS);
  7. Institut Pengajian Islam (INSPI) Kemaman, Terengganu;
  8. Kolej Al-Quran Sayyidina Ali Melaka (KAQSA);
  9. Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS); dan
  10. Maahad Tahfiz Al Quran Wal-Qiraat Addin, Tapah, Perak.

B. PROGRAM PENSIJILAN TAHFIZ AL-QURAN:

  1. International Islamic University Malaysia (IIUM);
  2. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN);
  3. University of Cyberjaya (UoC);
  4. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM);
  5. Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam;
  6. Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang;
  7. Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam, Bangi (IPG KPI); dan
  8. Management and Science University (MSU).

C. PROGRAM IJAZAH

  1. Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra, Mesir;
  2. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM);
  3. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); dan
  4. Universiti Utara Malaysia (UUM).
5.         Kerjasama JAKIM khususnya Darul Quran dalam menjalankan kolaborasi akademik bersama institusi-institusi pengajian tinggi merupakan suatu langkah strategik dalam mewujudkan model pendidikan tahfiz peringkat pengajian tinggi yang cemerlang. Keberhasilan program ini diharapkan dapat memberikan sumbangan yang signifikan terhadap pencapaian objektif Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) 2023–2027.

6.       Syabas dan tahniah kepada Darul Quran JAKIM kerana telah berjaya menjadi model contoh yang baik dalam pendidikan tahfiz di Malaysia khususnya yang bersifat arus perdana.

7.       Justeru sebagai sebuah institusi pendidikan tahfiz yang terulung di bawah kerajaan persekutuan, Darul Quran JAKIM sentiasa membuka ruang untuk mana-mana pihak bekerjasama ke arah memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini.

Sekian,

YB SENATOR DATO' SETIA DR. HAJI MOHD NA'IM BIN HAJI MOKHTAR
5 Mac 2024