jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PEMINDAHAN SEMENTARA PUSAT PEPERIKSAAN UJIAN PENILAIAN KELAS AL-QURAN DAN FARDU AIN (UPKK)
SUSULAN INSIDEN KEBAKARAN DI SEKOLAH AGAMA NEGERI (SAN) TAMBUNAN, SABAH

Bil. 45/2025

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memaklumkan bahawa suatu insiden kebakaran telah berlaku di Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan, Sabah pada 12 Oktober 2025 (Ahad) sekitar pukul 5.00 petang.

2. Alhamdulillah, tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut. Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran, dan laporan polis juga telah dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berkaitan insiden ini.

3. Berikutan insiden kebakaran ini, persiapan bagi peperiksaan Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) yang dijadualkan turut diberikan perhatian khusus oleh JAKIM. Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan mempunyai seramai 179 orang murid daripada Tahun 1 hingga Tahun 6, serta 11 orang tenaga pengajar. Sekolah ini turut berperanan sebagai Pusat Peperiksaan UPKK yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 November 2025.

4. Bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan tersebut, pusat peperiksaan di SAN Tambunan akan dipindahkan sementara ke KAFA Maahad Al-Kautsar, Tambunan, Sabah bermula pada tarikh peperiksaan yang ditetapkan sehingga selesai. Pemindahan ini dilaksanakan bagi menjamin keselamatan serta keselesaan calon-calon yang terlibat.

5. Kerajaan MADANI melalui JAKIM, ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua pihak yang terlibat atas tindakan pantas dan keprihatinan dalam mengurus situasi ini dengan penuh tanggungjawab.

6. JAKIM turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan kepada warga SAN Tambunan atas musibah yang menimpa. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan pemulihan dan memberikan kekuatan kepada semua pihak. Seluruh warga JAKIM juga mendoakan agar peperiksaan UPKK dapat dilaksanakan dalam keadaan yang selamat, teratur dan penuh keberkatan.

Sekian, terima kasih.


DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
13 OKTOBER 2025M / 21 RABIULAKHIR 1447H