WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 16 SYAWAL 1441H
KEDAHSYATAN SEKSAAN DALAM NERAKA SAQAR
 
 
وَمَا أَدْرَاكَ مَا سَقَرُ * لَا تُبْقِي وَلَا تَذَرُ * لَوَّاحَةٌ لِّلْبَشَرِ
“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa dan tidak membiarkannya (binasa terus). Ia terus-menerus membakar kulit manusia".
[Surah al-Muddatstsir 27-29]
 
Allah SWT menggambarkan kedahsyatan seksaan dalam neraka Saqar. Seksaan yang amat mengerikan dan keganasan neraka Saqar membaham mangsanya.
 
Menurut Quraishihab dalam tafsir al-Misbah: "Perkataan Saqar diambil dari perkataan Saqara yang bererti menyengat atau mencap untuk menandai binatang".
 
Disebutkan Saqar yang juga bermaksud menghanguskan kerana neraka itu tersangat-sangat panas.
 
Dalam ayat ini digambarkan neraka Saqar ialah tempat penyeksaan yang sangat pedih. Bentuk penyeksaan berupa sengatan api membakar kulit manusia terus menerus hingga hangus tanpa meninggalkan sisa namun tidak membiarkan binasa terus. Ini agar sentiasa merasa sakit yang berpanjangan.
 
Sayidina Abdullah Ibnu Abbas r.huma berkata: "Saqar membakar kulit lalu menghanguskan dan mengubah warnanya".
 
Menurut Imam al-Qurthubi, berdasarkan satu riwayat yang dinisbahkan kepada sahabat Nabi saw mengatakan: "Saqar adalah tingkat keenam dari tujuh tingkat neraka".
 
Di antara penghuni yang dibakar di dalam neraka Saqar ialah:
 
1. Orang yang tidak mengerjakan solat.
2. Tidak menolong dan memberi makan orang miskin serta orang yang dalam kesusahan.
3. Orang yang suka berbicara batil (mengumpat (ghibah), memfitnah, gunting dalam lipatan atau mengadu domba dan memecah belah).
4. Mendustakan hari Akhirat (hari pembalasan).
 
وَذُوقُوا عَذَابَ الْخُلْدِ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
“Dan (dengan yang demikian) rasalah azab seksaan yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".
[Surah as-Sajdah 14]
 
Sesungguhnya, tiada manusia yang mampu menahan azab neraka yang dahsyat ini. Semua sisi di dalam neraka itu azab dan api yang sangat luar biasa kepanasannya sehingga membuatkan seluruh penghuninya tidak mampu lari daripadanya.
 
Marilah kita semua memanjatkan doa dengan penuh pengharapan supaya Allah swt menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita daripada menjadi bakaran api neraka Saqar yang dahsyat ini. Pastikan kita sekeluarga sentiasa menjaga solat, peduli orang miskin, bicara perkara yang baik dan beriman dengan teguh akan adanya hari pembalasan. Moga kita selamat. Aamiiin.
 
 
 



QR Code Portal JAKIM
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 27 November 2020.
Jumlah Pelawat :12480622