WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 19 SYAWAL 1441H
BERDAKWAHLAH KEPADA ISLAM
 
 
وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِـَٔایَـٰتِنَاۤ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَیَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّكُلِّ صَبَّارࣲ شَكُورࣲ
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur".
[Surah Ibrahim 5]
 
Dalam ayat ini menunjukkan bahawa matlamat dan tujuan nabi atau rasul diutuskan oleh Allah adalah untuk mengeluarkan manusia daripada jalan kesesatan kepada jalan hidayah atau petunjuk. Oleh itu, sesiapa yang telah berjaya mengIslamkan seseorang, maka dia telah berjaya mengeluarkan orang itu daripada kegelapan kesesatan kepada nur atau cahaya hidayah Ilahi.
 
ٱللَّهُ وَلِیُّ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ یُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ
"Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman)".
[Surah al-Baqarah 257]
 
Allah SWT dan RasulNya menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang menyeru orang lain kepada keIslaman dan kebaikan.
 
Daripada Sayidina Abi Hurairah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
 
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
"Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan)".
(HR Muslim)
 
Daripada Sayidina Sahl bin Sa’ad r.a, beliau mendengar Nabi saw bersabda:
 
فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
"Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik)”.
(HR al-Bukhari)
Membawa manusia yang berada di dalam kegelapan untuk menerima cahaya kebenaran dan beristiqamah dalam memperjuangkan kebenaran adalah satu pekerjaan yang amat berat. Namun begitu, pekerjaan membawa manusia ke jalan hidayah merupakan pekerjaan yang mulia dan merupakan pekerjaan para nabi dan rasul. Sesungguhnya pahala yang amat besar dijanjikan Allah SWT kepada orang yang berjaya mengIslamkan atau membantu mengIslamkan seseorang. Jom kita teruskan pekerjaan yang mulia ini agar kita beroleh kedudukan yang teristimewa di sisi Allah SWT kelak sebagaimana kedudukan para nabi dan rasul.
 
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)".
[Surah Fussilat 33]
 
Menyeru manusia ke jalan hidayah merupakan satu perbuatan yang mulia kerana dia telah melaksanakan salah satu daripada sifat wajib bagi para nabi atau rasul iaitu menyampaikan risalah kebenaran dan menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kesengsaraan akhirat. Jom berdakwah!
 
 
 



QR Code Portal JAKIM
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 27 November 2020.
Jumlah Pelawat :12480615