WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TADABBUR KALAMULLAH 22 SYAWAL 1441H
DUNIA TEMPAT PERSINGGAHAN
 
 
تِلۡكَ ٱلدَّارُ ٱلۡـَٔاخِرَةُ نَجۡعَلُهَا لِلَّذِینَ لَا یُرِیدُونَ عُلُوࣰّا فِی ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فَسَادࣰاۚ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلۡمُتَّقِینَ
"Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".
[Surah al-Qasas 83]
 
Allah SWT menyebut tentang golongan yang bakal beroleh kebahagiaan di negeri akhirat. Mereka ialah:
 
1. Orang yang hidup bukan bertujuan mencari dunia, tidak sibuk mengejar kenikmatan dunia, memburu pengaruh dan kesombongan.
2. Orang yang takut akan dosa dan tidak berani melakukan kerosakan dan kejahatan.
3. Orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT.
 
Ini menunjukkan bahawa dunia ini bukan tempat untuk kita mengumpulkan segala kenikmatannnya dan leka dibuai kenikmatan dunia. Sebenarnya dunia ini adalah tempat (untuk kita beramal mengumpul bekalan pahala untuk membahagiakan kita di akhirat kelak.
 
Pepatah Arab ada menyebutkan:
 
الدُّنْيَا مَزْرَعَةُ الآخِرَةِ
“Dunia ini adalah ladang (tempat bercucuk tanam) bagi akhirat”.
Dunia adalah tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke negeri akhirat iaitu tempat yang kekal abadi.
 
مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
"Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak”.[Surah as-Syura 20]
 
Marilah sama-sama kita jadikan kehidupan di dunia ini sebagai medan untuk kita beramal, menjadi insan bertaqwa dan menyediakan persiapan kita menuju alam akhirat. Tidak mungkin kita akan bahagia, jika hanya membawa bekalan yang sedikit dan tidak berkualiti ke negeri akhirat, apatah lagi jika hidup penuh kesombongan dan hanya sibuk memburu dunia serta kemegahannya. Janganlah sia-siakan masa, umur, tenaga dan kekayaan yang kita miliki dengan menyediakan pelaburan untuk bekalan kita di akhirat kelak. Banyakkan amal soleh dan sifarkan dosa maksiat.
 
 
 



QR Code Portal JAKIM
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 27 November 2020.
Jumlah Pelawat :12480619