MISI
Membangun Ummah Yang Progresif dan Berakhlak Mulia Melalui Aktiviti Dakwah, Penyelidikan dan Pendidikan Secara Holistik


VISI
Berperanan Sebagai Sebuah Agensi Persekutuan Yang Membantu Agensi Agama Islam Negeri Dalam Memperkasakan Hal Ehwal Islam


OBJEKTIF
• Melahirkan ummah yang berkualiti dari sudut penghayatan nilai-nilai Islam melalui aktiviti dakwah dan pendidikan.
• Melaksanakan penyelidikan dan menyediakan maklumat isu semasa hal ehwal Islam dalam pelbagai bidang
• Menyelaras strategi dan aktiviti dakwah bersama Agensi Islam Negeri, Agensi Persekutuan dan Negeri serta NGO’s.


FUNGSI UMUM
Membantu Majlis Ugama Islam Sabah dan Jabatan Agama Negeri dalam memastikan ajaran Islam tersebar luas di negeri Sabah berasaskan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah


FUNGSI KHUSUS
• Bekerjasama Meningkatkan Pembangunan Ummah Melalui Pengurusan Dakwah
• Menjalankan Penyelidikan Pembangunan Ummah
• Menyelaras Pelaksanaan Pengurusan Pendidikan KAFA
Assalamualaikum.

Segala pujian dan sanjungan dirafakkan kehadrat Allah SWT. Selawat dan salam untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya.

Sejak kebelakangan ini, dunia berkembang begitu cepat dan pantas dengan arus pemodenan dan transformasi yang terus berlaku di sekeliling kita. Revolusi teknologi maklumat dan globalisasi merancakkan lagi perubahan dan gelombang gagasan dunia tanpa persempadanan (borderless world) ini. Kemunculan pelbagai gajet dan jamak media baharu telah menjadikan transaksi kehidupan manusia semakin rancak, pantas dan efektif.

Menyahut tuntutan kepantasan penyampaian informasi dan maklumat terkini ini, Jakim Cawangan Sabah telah berjaya mewujudkan dan memantapkan laman sesawang (web) yang sedia ada melalui beberapa penambahbaikan dan pembaharuan. Ia berperanan utama untuk menyampaikan informasi semasa dalam bentuk laporan program/aktiviti, bahan rujukan, pentas untuk mendapatkan penjelasan dan sebagainya selain mekanisme untuk mempromosi dan meningkatkan imej Jakim Cawangan Sabah.

Kami menjemput anda sekalian untuk terus melayari dan berkongsi info serta amat mengalu-alukan sebarang komen/ulasan, pandangan dan cadangan untuk penambahbaikan dan menambah keberkesanannya. Harapan kami agar cita-cita membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam di bumi Sabah ini dapat digapai dan benar-benar direalisasikan dengan berkesan dan berimpak tinggi.

Sekian, terima kasih. Wassalam.


YBhg. Datuk Haji Norjeli bin Haji Dais
Pengarah
JAKIM Sabah
JAKIM SABAH
Aras 6, Blok A,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah
Jalan UMS, Peti Surat 14725,
88400 KOTA KINABALU SABAH
Tel : 088-488641/ 642/ 643/ 644
Faks : 088-488645

PORTAL RASMI : http://jakimsabah.islam.gov.my/
EMEL : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.


LATAR BELAKANG

JAKIM bertapak di Sabah bermula pada tahun 1978 apabila Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri menghantar dua orang pegawai agama ke Sabah. Kedua-dua pegawai ini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan kepada Institusi Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) dan Pusat Penyelidikan Islam (PPI) Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri.

Pegawai-pegawai tersebut ialah Ustaz Mohd Saman bin Awang dan Ustaz Abdul Hamid bin Ahmad. Mereka ditempatkan di ibu pejabat Majlis Ugama Islam (MUIS) Kota Kinabalu bagi membantu melaksana aktiviti-aktiviti dakwah dan penyelidikan Islam di Sabah. Mereka juga ditugaskan untuk mempertingkatkan penyelarasan aktiviti dakwah bersama Majlis Ugama Islam Sabah MUIS, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA, agensi-agensi kerajaan, badan-badan dakwah dan NGO’S di negeri Sabah).

Pejabat yang terawal terletak di rumah kedai dua tingkat di Jalan Penampang, Kota Kinabalu. Cawangan ini diperluaskan fungsinya apabila Kerajaan Negeri Sabah menyerahkan empat buah Pusat Latihan Dakwah (PLD) kepada Kerajaan Persekutuan untuk diurustadbirkan iaitu PLD Keningau, PLD Sikuat, Kudat, PLD Tongod (1984) dan PLD Kundasang (1987) manakala pada tahun 1999 sebidang tanah di Lahad Datu diberi untuk pembinaan pusat latihan di Pantai Timur negeri Sabah. Pada tahun yang sama (1984) Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), secara rasmi menubuhkan cawangan di Sabah dikenali BAHEIS Bahagian Sabah dengan tambahan enam orang pegawai yang ditempatkan di pusat-pusat latihan sebagai tenaga pengajar.

Pada tahun 1985, apabila Wisma MUIS dibina, BAHEIS Bahagian Sabah telah berpindah ke Wisma MUIS. Pada 1 Januari 1997, BAHEIS dinaikkan taraf menjadi sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sehubungan itu, BAHEIS Bahagian Sabah dikenali dengan JAKIM Cawangan Sabah. Bermula 3 Januari 2007, JAKIM Cawangan Sabah beroperasi di Aras 6, Blok A , Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah , Jalan UMS , Kota Kinabalu.


PENYERAHAN 4 BUAH PUSAT LATIHAN

Kemudiannya pada tahun hari Isnin 21 Mei 1984, sejarah penting dakwah tercatat apabila Kerajaan Negeri Sabah menyerahkan 3 buah pusat latihan dakwah di bawah pentadbiran Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diurus tadbir oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri. Pusat-pusat latihan tersebut merupakan Pusat Latihan Dakwah Keningau, Sikuati (Kudat) dan Tongod (tidak beroperasi). Majlis Penyerahan ini telah dilakukan oleh Tan Sri Hashim bin Aman, Ketua Setiausaha Negara bagi pihak Kerajaan Persekutuan manakala Tan Sri (Datuk) Abdul Hamid bin Goh, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah pada waktu itu.

Majlis turut disaksikan oleh YAB Datuk Musa bin Hitam, Timbalan Perdana Menteri Malaysia manakala YAB Datuk Haris bin Salleh selaku Ketua Menteri Sabah ketika itu mewakili Kerajaan Negeri Sabah. Majlis diadakan di Jabatan Perdana Menteri, Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur. Manakala pada tahun 1987 pula, MUIS telah menyerahkan kompleks pusat latihan kepada BAHEIS dengan tujuan digunakan sebagai Pusat Latihan Dakwah


PENSTRUKTURAN SEMULA JAKIM

Dasar penstrukturan semula JAKIM yang berkuatkuasa pada 15 Disember 2018 telah meletakkan Pusat Latihan Islam Kundasang dan Pusat Latihan Islam Lahad Datu di bawah pengurusan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi. Manakala Pusat Latihan Dakwah Kudat telah diletakkan di bawah pengurusan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau yang diiktiraf menjadi pusat tanggungjawab (PTJ) yang baharu.
CARTA_ORGANISASI_IPDAS_16_MEI_2023