Kurator Berita : Bahagian Khidmat Pengurusan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (MAIWP), Institut Wasatiyyah Malaysia, Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM) dan iM4U telah mengadakan Pertandingan Pidato Dakwah Belia Islam Piala YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri 2015M / 1437H yang telah berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2015 bertempat di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, Perlis.
 
Program ini merupakan program julung kali diadakan bagi melahirkan pendakwah muda yang akan menjadi agen transformasi ummah terutamanya dalam kalangan belia itu sendiri. Seramai 39 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi dalam Negara telah menyertai pertandingan tersebut.
 
Pertandingan ini telah melalui tiga (3) pusingan iaitu Pusingan Awal, Pusingan Separuh Akhir dan Pusingan Akhir. Seramai enambelas (16) orang peserta terbaik dalam pusingan awal telah layak untuk ke pusingan separuh akhir dan seramai tujuh (7) orang peserta yang terbaik pula dalam pusingan separuh akhir layak untuk kepusingan akhir.
 
Program ini yang bertemakan “Belia Islam Agen Transformasi Ummah”, adalah bertujuan untuk memupuk kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengupas isu-isu semasa serta membina generasi muda yang mempunyai keteguhan akidah, syariah dan memiliki akhlak yang mulia. Selain itu, program ini juga melatih kader-kader dakwah di kalangan pemimpin belia-belia Islam dalam menyemarakkan usaha dakwah Islamiah di samping menangani gejala sosial di kampus serta mengumpulkan idea-idea dan cadangan-cadangan dalam memasyarakatkan generasi muda.
 
Dalam pertandingan ini, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Siti Suhailah Shahruddin, 22, telah diumumkan sebagai juara dengan menewaskan enam peserta yang lain dalam pusingan akhir pertandingan tersebut. Sementara itu, Nurul Afifah Adila Mohd Salleh dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mendapat tempat kedua dan Irfan Mohd Fairus dari (USIM) telah mendapat tempat ketiga.
 
Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Pidato Dakwah Belia Islam 2015 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Haji Othman Bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM mewakili YB Mejar Jeneral Dato' Sri Jamil Khir bin Baharom (B); Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapan perasmian tersebut YBhg. Ketua Pengarah JAKIM menekankan bahawa program seumpama ini harus diteruskan pada masa yang akan datang bagi melahirkan pendakwah-pendakwah muda dikalangan belia dalam membina kepimpinan yang bertaqwa, berkredibiliti dan berkarisma sebagai bakal kepimpinan negara.
 
Atas apresiasi kemenangan dalam pertandingan ini, Jakim telah menawarkan 4 orang pemenang mengikuti program Leadership Training Belia MABIMS yang diadakan di Bandung pada 24-27 November 2015. Program ini merupakan program dibawah anjuran negara MABIMS dan Indonesia menjadi tuan rumah penganjuran program ini.
 
USIM Juara Pertandingan Pidato Piala YB Menteri 2015 1
 
USIM Juara Pertandingan Pidato Piala YB Menteri 2015 2
 
USIM Juara Pertandingan Pidato Piala YB Menteri 2015 3
 
USIM Juara Pertandingan Pidato Piala YB Menteri 2015 4
 
USIM Juara Pertandingan Pidato Piala YB Menteri 2015 5
 
USIM Juara Pertandingan Pidato Piala YB Menteri 2015 6
 
USIM Juara Pertandingan Pidato Piala YB Menteri 2015 7