Kurator Berita : Darul Quran
20 September 2021 - Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran Negeri (MTQN) Peringkat Kebangsaan kali ke-39 yang diadakan secara dalam talian telah dihadiri oleh wakil-wakil dari 10 Lokasi Tambahan Darul Quran (LTDQ). Persidangan kali ke-39 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee.

Dalam ucapan perasmiannya Yang Berbahagia Dato’ telah mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil LTDQ yang dapat menyertai persidangan kali ini. Beliau juga menyatakan hasrat kerajaan untuk terus komited dalam menjaga kebajikan institusi tahfiz selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi melahirkan 125,000 golongan huffaz profesional menjelang tahun 2050.

“Visi ini hanya akan dapat dicapai dengan komitmen yang jitu bukan sahaja dari pihak JAKIM tetapi turut melibatkan peranan yang serius dari institusi tahfiz di negeri-negeri. Saya ambil contoh, setiap tahun Darul Quran akan mengeluarkan purata sekitar 600 orang graduan huffaz. Dalam tempoh 29 tahun lagi sebelum menjelang ke tahun 2050, Darul Quran hanya hanya mengeluarkan anggaran seramai 17,400 orang graduan huffaz sahaja. Jumlah ini hanya 13.92% sahaja berbanding sasaran asal 125,000 huffaz”, kata beliau.

Menurut beliau lagi: “Maka bagi merealisasikan visi ini, suka untuk saya cadangkan agar setiap LTDQ juga mempunyai rancangan sama ada jangka masa pendek atau jangka masa panjang bagi pengembangan program-program pengajian sedia ada. Contohnya dari sudut penawaran program pengajian, penawaran syukbah pengajian, pengambilan pelajar dan seumpamanya.”

Sebanyak empat kertas makluman telah dibentangkan dalam persidangan hari ini dan persidangan kali ke-39 ini ditangguhkan selepas bersidang selama hampir dua jam 30 minit.

Persidangan Pengetua MTQN Peringkat Kebangsaan Kali Ke 39 1

Sumber berita dari Laman Web Darul Quran : http://www.darulquran.gov.my/xs/page.php?id=472