Kurator Berita : Darul Quran
11 Oktober 2021 - Seramai 74 orang pelajar yang terdiri daripada 52 orang banin dan 22 orang banat lepasan Diploma Tahfiz Al-Quran & al-Qiraat Darul Quran serta Lokasi Tambahan Darul Quran telah berjaya menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Takhassus Qiraat di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi meraikan pelajar-pelajar tersebut ialah Pengarah Darul Quran Ustaz Mohamad Kori Jusoh serta beberapa orang pegawai Darul Quran yang lain.

"Belajarlah bersungguh-sungguh untuk meraih kejayaan cemerlang. Berikanlah kejayaan sebagai buah tangan kepada ibu-bapa dan guru-guru sebagai menghargai pengorbanan mereka. Dalam usaha menuju kejayaan, amalkanlah bidalan Melayu, 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'. Bidalan ini mengingatkan kita bahawa kejayaan tidak akan datang tanpa usaha dan kegigihan. Oleh itu, belajarlah bersungguh-sungguh." Begitulah pesanan dan nasihat yang disampaikan oleh Pengarah kepada anak-anak pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu seterusnya berbakti pula apabila pulang ke tanah air kelak.

Perjalanan para pelajar ini ke Mesir akan diiringi oleh tiga orang Pegawai Kanan Darul Quran yang diketuai oleh Dr. Abdul Jalal Abdul Manaf, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Ustaz Mohammad Zaki Ibrahim serta Ustaz Mohd Anuar Baharudin selaku Ketua dan Penolong Pengarah Kanan Unit Kemahiran Insaniah.

74 Graduan DQ Menyambung Pengajian Ke Mesir 1

Sumber berita dari Laman Web Darul Quran : http://www.darulquran.gov.my/xs/page.php?id=479