Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal
PUTRAJAYA - Komitmen Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memerangi penyalahgunaan logo dan sijil halal terus dizahirkan melalui penganjuran Majlis Penyempurnaan Pelupusan Serta Pemusnahan Barang Rampasan (Eksibit) Penguatkuasaan Halal Di Bawah Akta Perihal Dagangan 2011 hari ini bertempat di Gudang Eksibit Penguatkuasaan Halal JAKIM, Puchong, Selangor pad 24 Mac semalam.

Majlis simbolik pelupusan yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Bukhari Md Akhir, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM berkenaan turut dihadiri dan disaksikan oleh YBrs. Ustazah Siti Rahmaniah Bachok, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM (CPP BPH) dan pegawai-pegawai kanan dari Bahagian ini.

Untuk rekod, anggaran nilai barang rampasan (eksibit) yang dilupus/dimusnahkan ialah RM335, 252.40 (Tiga Ratus Tiga Puluh Lima Ribu Dua Ratus Lima Puluh Dua Ringgit dan Empat Puluh Sen).

Aktiviti pelupusan dan pemusnahan barang rampasan (eksibit) ini telah dilaksanakan oleh syarikat kontraktor pelupusan yang dilantik bermula pada 03 hingga 13 Mac 2022 dengan dikawal selia oleh Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM melalui Seksyen Penguatkuasaan, CPP.

Manakala barang rampasan (eksibit) yang akan dipindahkan ke MyHAC sebagai tempat penyimpanan sementara adalah di bawah 39 kertas siasatan yang terdiri daripada pelbagai jenis item dengan anggaran nilai rampasan RM1,016,574.75 (Ringgit Malaysia Satu Juta Enam Belas Ribu Lima Ratus Tujuh Puluh Empat Ringgit Tujuh Puluh Lima Sen).

Melalui ucapan penyempurnaan hari ini, Bukhari Md Akhir menzahirkan harapan untuk melihat gudang barang rampasan (eksibit) baharu milik JAKIM yang bakal siap kelak akan mampu menampung keperluan pengurusan barang rampasan (eksibit) penguatkuasaan Halal untuk jangka masa panjang. Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada CPP khususnya Seksyen Penguatkuasaan, Cawangan Pengurusan, Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC), dan Bahagian Khidmat Pengurusan JAKIM yang terlibat secara langsung mengatur perancangan dan melaksanakan kerja-kerja pelupusan serta pemusnahan eksibit mengikut prosedur yang ditetapkan.

Turut tidak dilupakan ucapan penghargaan kepada pihak Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP atas khidmat nasihat yang diberikan terutama berhubung pengendalian pelupusan barang rampasan (eksibit) seterusnya memperkukuhkan imej dan integriti JAKIM dan JAIN selaku pihak berkuasa berwibawa dalam pensijilan halal Malaysia.

Majlis Penyempurnaan Pelupusan Barang Rampasan Eksibit 1

Majlis Penyempurnaan Pelupusan Barang Rampasan Eksibit 2

Majlis Penyempurnaan Pelupusan Barang Rampasan Eksibit 3

Majlis Penyempurnaan Pelupusan Barang Rampasan Eksibit 4

Majlis Penyempurnaan Pelupusan Barang Rampasan Eksibit 5

Majlis Penyempurnaan Pelupusan Barang Rampasan Eksibit 6

Majlis Penyempurnaan Pelupusan Barang Rampasan Eksibit 7

*Ikuti pelbagai aktiviti yang melibatkan Halal Malaysia di:-

www.halal.gov.my
www.islam.gov.my
#YakiniHalalMalaysia
#HalalMalaysiaHaveFaith
#KeluargaMalaysia
#AgainstCovid19