Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam, Bahagian Pendidikan
PULAU PINANG – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dasar Kemajuan Islam (BDKI) telah bekerjasama dengan Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi menjayakan Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dan Lawatan Strategik Tahfiz Zon Utara pada 13 hingga 14 Jun 2022 bertempat di Bilik Mesyuarat JHEAIPP dan Madrasah Tahfizul Quranul Karim Baitul Irfan.

Dalam sesi advokasi, pihak Jabatan Agama Islam Negeri memaklumkan tindakan yang telah diambil bagi memastikan Pelan Tindakan DPTN 2.0 dapat dilaksanakan dan mencapai objektifnya. Selanjutnya, perbincangan juga memfokuskan tindakan susulan dan cadangan baharu bagi meningkatkan usaha membantu institusi tahfiz. Sesi kali ini telah dipengerusikan oleh Puan Kasumawati binti Kasim, Ketua Penolong Pengarah BDKI dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Jabatan Agama Islam Perlis, Darul Quran JAKIM, serta Bahagian Pendidikan JAKIM.

Pada hari berikutnya, semua ahli mesyuarat telah dibawa melawat Madrasah Tahfizul Quranul Karim Baitul Irfan di Bukit Gelugor. Madrasah ini beroperasi di sebuah surau milik Jabatan Kastam yang dikenali dengan nama Surau Kampung Kastam dan terletak berdekatan kawsaan perumahan kakitangan Kastam. Kini, surau ini diurus sepenuhnya oleh pihak pengurusan madrasah yang diketuai oleh Dr. Najiburrahman bin Haniff Baba. Madrasah ini berhasrat melahirkan para hafiz dan huffaz yang berpegang teguh kepada ajaran agama serta menjaga adab sepanjang masa.

Diharapkan usaha memartabatkan pendidikan tahfiz melalui DPTN akan sentiasa mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri dan sokongan institusi tahfiz seluruhnya.

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 1

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 2

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 3

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 4

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 5

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 6

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 7

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 8

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 9

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Utara 10