Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 16 Jun - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Kursus Kemahiran Pengurusan Nikah Cerai dan Rujuk pada 14-16 Jun 2022 bersamaan 14-16 Zulkaedah 1443H, bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang.

Objektif kursus ini ialah memberi pengetahuan dan meningkatkan kemahiran peserta dalam pengendalian pengurusan nikah, cerai dan rujuk secara sistematik dan berkesan. Seramai 28 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam dan Pegawai Syariah di seluruh Malaysia telah mengikuti kursus ini dengan jayanya.

Kursus ini menyentuh topik-topik berkaitan Pengurusan Pernikahan di Malaysia, Bidang kuasa Pendaftar Nikah Cerai & Rujuk, Pengurusan Cerai dan Rujuk, Pembubaran Perkahwinan di Mahkamah Syariah dan Tuntutan–tuntutan Perceraian di Mahkamah Syariah.

ILIM telah mengundang tiga orang penceramah bagi membincangkan topik-topik tersebut iaitu Ustazah Khairuljannah bt. Abdullah, daripada Jabatan Agama Islam Melaka, Ustaz Rozimi b. Zamri, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Dr. Suhaizad b. Saifuddin, Jabatan Pendakwaan Syariah, Negeri Sembilan.

Semoga dengan terlaksananya kursus ini diharap dapat membantu Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam khasnya dalam menjalankan tugas dengan lebih efisien dan cekap.

Kursus Kemahiran Pengurusan Nikah Cerai dan Rujuk

Sumber berita daripada Laman Web ILIM : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/1006-kursus-kemahiran-pengurusan-nikah-cerai-dan-rujuk