Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
JELEBU, 7 Julai – Institut Latihan Islam Kampus Jelebu telah mengadakan Muhadharah ILIM Bil 6 yang bertajuk Menyingkap Sejarah Kegemilangan Ketuanan Melayu Islam secara online pada 7 Julai 2022. Program perkongsian ilmu yang bermula pukul 9.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari ini telah berjaya menarik minat seramai 126 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam dan penjawat awam dari pelbagai jabatan/agensi serta penglibatan para pencinta ilmu Sejarah Ketuanan Melayu Islam dari pelbagai lapisan masyarakat. Apa yang lebih menarik, Muhadharah yang dianjurkan pada kali ini juga seolah-olah menjalinkan suatu kesinambungan dengan tayangan filem Mat Kilau yang telah mencetuskan satu fenomena celik sejarah di kalangan ahli masyarakat dan hangat diperkatakan dewasa.

Muhadharah ini bertujuan untuk membangkitkan semangat serta kesedaran di kalangan para peserta untuk membina jatidiri melayu muslim dengan mengambil ibrah daripada kegemilangan Sejarah Ketuanan Melayu Islam yang telah dicetuskan oleh nenek moyang kita suatu masa dahulu. Dua (2) slot muhadharah yang bertajuk Menyingkap Sejarah Kegemilangan Ketuanan Melayu Islam dan Sejarah Melayu: Yang Tersurat Dan Yang Tersirat ini telah disampaikan dengan jayanya oleh YBrs. Dr. Mohd Hasanuddin bin Mohd Yusof, Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam.

Semoga penganjuran Muhadharah secara online ini dapat memberi manfaat kepada para peserta dalam menyelusuri lipatan Sejarah Kegemilangan Melayu Islam dan mengundang keberkatan daripada Allah SWT.