Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah, Unit Komunikasi Korporat, Bahagian Dakwah
Sungai Buloh, 19 Julai 2022 - YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada hari ini telah mengadakan Lawatan Kerja ke Hospital Sungai Buloh lanjutan dari kunjungan pihak JAKIM pada 27 April lepas yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM. Lawatan hari ini disambut oleh YBhg. Dr. Kuldip Kaur a/p Prem Singh Pengarah Hospital Sg. Buloh. Turut mengiringi lawatan ini YBhg Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM.

YB Menteri berbesar hati dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang sangat baik yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada JAKIM dan agensi-agensi Islam selama ini antaranya melalui program Hospital Mesra Ibadah (HMI), Program Sukarelawan Rakan Masjid dan Hospital (RAMAH) dan Program Kesedaran Berhenti Merokok.

Kali ini, JAKIM mengembangkan lagi jalinan kerjasama melalui projek Perkhidmatan Penjagaan Spiritual (Spritual Care). Hospital Sungai Buloh telah dipilih sebagai hospital rintis dalam pelaksanaan projek perkhidmatan penjagaan spiritual ini. Projek ini telah bermula pada 3 Februari 2022 yang lepas dan akan tamat pada akhir Julai 2022. Ini bermakna perkhidmatan ini telah berlangsung selama 5 bulan. Perkhidmatan ini memberi manfaat kepada kakitangan dan pesakit.

Matlamat lawatan kerja ini adalah bagi meninjau dengan lebih dekat serta mendapat maklumat perkembangan pelaksanaan perkhidmatan tersebut sepanjang tempoh pelaksanaannya. Perkhidmatan ini dimulakan sebagai projek rintis dan ianya akan diperluaskan ke hospital-hospital lain. Intervensi spiritual harus diketengahkan sebagai salah satu kaedah alternatif bagi membantu Keluarga Malaysia yang berada dalam kemurungan (resillient) atau tekanan dalaman (stress) dalam membina kembali kekuatan bagi individu yang terkesan dengan ujian kehidupan.

Perkhidmatan Penjagaan Spiritual (Spritual Care) dan Program Sukarelawan Rakan Masjid dan Hospital (RAMAH) membawa objektif yang sama untuk membantu menguatkan jati diri dalaman (kerohanian) melalui intevensi spiritual. Apabila seseorang yang berada dalam keadaan ujian sakit, amalan-amalan kerohanian seperti zikir, bacaan al-quran, doa dan lain-lain menjadi terapi kekuatan dalaman pesakit. Ia mampu membina daya tahan dan kekuatan dalaman seseorang dan mudah-mudahan ia juga menjadi salah satu asbab mendapat kesembuhan daripada Allah SWT.

Perkhidmatan penjagaan spiritual merupakan penjagaan kendiri (self care) yang merupakan satu keupayaan individu untuk menjaga diri sendiri melalui aktiviti kesejahteraan fizikal, spiritual dan emosi. Selain itu, pendekatan ini juga mengetengahkan penyucian jiwa (tazkiyyah al nafs) yang menjadi keperluan kepada manusia bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Usaha mengetengahkan pendekatan ini adalah sangat bertepatan dengan situasi semasa di mana ramai di kalangan masyarakat kita dan tidak terkecuali kakitangan hospital dan pesakit yang terkesan akibat COVID-19 yang telah mencetus fenomena yang melanda dunia. Ramai yang menghadapi tekanan emosi bahkan tekanan mental.

Pelaksanaan penjagaan spiritual yang telah diusahakan oleh JAKIM bersama KKM ini diharap dapat membantu Keluarga Malaysia khususnya kakitangan dan pesakit serta waris-waris pesakit di hospital. Bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama ini, satu “NOTA KERJASAMA” akan dimeterai antara JAKIM dan KKM pada 16 Ogos 2022 ini.

Jalinan Kerjasama Strategik JAKIM Dan KKM 1

Jalinan Kerjasama Strategik JAKIM Dan KKM 2

Jalinan Kerjasama Strategik JAKIM Dan KKM 3

Jalinan Kerjasama Strategik JAKIM Dan KKM 4