Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 28 Julai – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Selangor melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Kursus Pemahaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah selama tiga (3) hari iaitu bermula tarikh 26 – 28 Julai 2022 bersamaan 26 – 28 Zulhijjah 1443.

Kursus ini dilaksanakan secara bersemuka bertempat di Bilik Kuliah al-Bukhari, Aras 2, Blok Akademik B, ILIM. Seramai 31 orang peserta telah hadir mengikuti kursus ini yang terdiri daripada Pembantu dan Penolong Hal Ehwal Islam Gred S19 - S40 dari Bahagian Agama dan Kaunseling Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia. Majlis pembukaan kursus ini diawali dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Puan Adawiah binti Lias, Timbalan Pengarah, Cawangan Pembangunan Kompetensi (CPK), ILIM.

Tujuan kursus ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai konsep akidah dan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah. Selain itu, kursus ini mendedahkan bentuk ancaman aliran yang menyalahi Ahli Sunnah wal- Jamaah di samping melahirkan peserta yang berkemahiran dan mampu menjawab isu-isu semasa berkaitan akidah dan pemikiran Islam di Malaysia.

Sebanyak lapan (8) perkongsian slot telah dibincangkan sepanjang kursus ini dijalankan antaranya ialah perkembangan pemikiran Islam awal dan kontemporari, cabaran dan ancaman liberalisme dan pluralisme di Malaysia serta slot ancaman syiah dan ajaran salah di Malaysia. Selain itu, slot konsep akidah dan keperluan umat Islam kepada ahli sunnah wal jamaah telah melengkapkan lagi kursus ini bagi pemahaman yang mendalam kepada para peserta.

Kursus yang berlangsung selama tiga (3) hari ini telah menampilkan empat orang penceramah yang pakar dan berpengalaman iaitu Dr. Arifin bin Ismail penceramah bebas merangkap Mantan Panel Pemikir Islam Pejabat Mufti Wilayah, Dr. Wan Haslan bin Khairuddin, Pensyarah Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali, pensyarah Program Pengajian Akidah Agama Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan Universiti Sains Islam Malaysia , dan Dr. Mohd Aizam bin Mas’od Pegawai Khas Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Semoga kursus ini berjaya memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan kepada peserta mengenai pemahaman akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan dapat meningkatkan peguasaan bidang ilmu akidah dan pemikiran dalam kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam, JAKIM.

Kursus Pemahaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah 1

Sumber berita : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/1056-kursus-pemahaman-akidah-ahli-sunnah-wal-jamaah