Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
KUCHING – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dasar Kemajuan Islam bersama-sama Bahagian Pentauliahan, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah melaksanakan Taklimat Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) kepada institusi tahfiz Zon Sarawak pada 9 Ogos 2022 bertempat di Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuching.

Susulan pelancaran Tahfiz-TVET oleh YB Timbalan Menteri Sumber Manusia pada 16 Mac 2022 di CIAST Shah Alam. Maka, beberapa siri taklimat telah dirancang untuk dilaksanakan mengikut zon sepanjang tahun 2022. Taklimat ini diadakan bagi tujuan menjelaskan perkara berkaitan pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia kepada mudir atau pengurus institusi tahfiz swasta yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri. Siri taklimat ini dapat mendedahkan peluang yang disediakan oleh pihak Kerajaan kepada pelajar-pelajar tahfiz dan institusi tahfiz yang berhasrat mensepadukan pendidikan tahfiz dengan ilmu kemahiran.

Taklimat berkaitan SPKM ini telah disampaikan oleh Ts. Shahrul Nizam bin Kasim, Penolong Kanan Pengarah, Bahagian Pentauliahan JPK. Taklimat siri kelima ini telah dihadiri Ts. Dr. Aruna binti Ismail @ Abd Wahab (Pengarah Bahagian Pentauliahan JPK), Haji Hanifuddin bin Roslan (Timbalan Pengarah BDKI) dan Encik Abdul Aziz bin Abdul Wahab (KPP Bahagian Pengukuhan Pendidikan Islam JAIS). Puan Nur Azlina binti Abdul Mutalib (Pengarah IKM Kuching) turut mengambil peluang menyampaikan taklimat berkaitan IKM Kuching kepada semua peserta taklimat kali ini. Seterusnya, semua tetamu dan peserta telah dibawa melawat bengkel-bengkel program pengajian yang ditawarkan di IKM Kuching.

Semoga agenda memperkasa model Tahfiz-TVET akan sentiasa mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak berkepentingan. Inilah masanya semua pihak perlu berani melakar kejayaan baharu melahirkan huffaz professional dan berkemahiran tinggi.

Agenda Tahfiz TVET Sarawak 1

Agenda Tahfiz TVET Sarawak 4

Agenda Tahfiz TVET Sarawak 6

Agenda Tahfiz TVET Sarawak 13

Agenda Tahfiz TVET Sarawak 14

Agenda Tahfiz TVET Sarawak 15

Agenda Tahfiz TVET Sarawak 16