Kurator Berita : Darul Quran
24 Ogos 2022 - Bertempat di Dewan Syura Utama Darul Quran telah diadakan suatu sesi perbincangan bersama pegawai-pegawai Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), kampus Shah Alam. Darul Quran dengan PSA telah menjalinkan kerjasama akademik sejak tahun 2017 melalui Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran. Sesi pertemuan dua pihak ini adalah untuk membincangkan hala tuju Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-PSA dalam mendepani isu-isu dan cabaran yang dihadapi serta mencari solusi ke arah pemerkasaan program ini.

Perbincangan ini dipengerusikan oleh Pengarah Darul Quran, Ustaz Mohamad Kori bin Jusoh. Turut hadir di pihak Darul Quran ialah Timbalan Pengarah Akademik, Dr. Muhamad Zakuwa bin Rodzali, Ketua-Ketua Jabatan Cawangan Akademik dan Ketua-Ketua Unit Cawangan Kualiti.

Manakala PSA diwakili sembilan orang pegawai dengan diketuai oleh Timbalan Pengarah Akademik iaitu Ts. Roseman bin Mat Jidin@Jidin, Pn. Haslina binti Abdullah@Mohamed (Ketua Jabatan Pengajian Am), Us. Muhammad Sofiyuddin bin Zakaria (Ketua Kursus Techno Huffaz), Us.Mohd Sharoni bin Ismail (Mudir) serta lima orang pegawai lain. Kehadiran delegasi dari PSA ini memperlihatkan sokongan dan komitmen pengurusan tertinggi terhadap usaha meningkatkan kualiti akademik pelajar PSA khususnya dalam bidang Tahfiz Al-Quran.

Penutup kepada sesi pertemuan ini turut diserikan dengan Pelancaran e-Modul Interaktif Tehcno Huffaz yang telah disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Kori bin Jusoh.

Hala Tuju JAKIM Politeknik SSAAS