Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 29 Ogos - YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa modal insan Rabbani sewajarnya menjadi teras kepada pembentukan “Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera”. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat menitikberatkan pembangunan modal insan rabbani yang terlatih, berpengetahuan, berkemahiran, mempunyai sahsiah yang tinggi, berintegriti dan mempunyai jiwa rabbani kerana ia merupakan aset yang amat berharga kepada sesebuah organisasi terutama dalam melahirkan penjawat awam dan warga kerja yang profesional khususnya perkhidmatan hal ehwal Islam.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Konvensyen Latihan Islam Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Datuk Mohd. Shahir Institut Latihan Islam Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan pada Isnin, 29 Ogos 2022. Kovensyen Kali Ke-5 ini diadakan oleh ILIM sejak diperkenalkan pada tahun 2012. Tema Konvesyen kali ini ialah “Tranformasi Latihan Menjana Kecemerlangan Modal Insan”. Seramai 200 orang telah menghadiri Konvensyen sehari ini yang terdiri daripada wakil-wakil Pusat Latihan Islam, Pusat Latihan Awam (ILA), Pegawai-Pegawai Latihan, Pegawai Hal Ehwal Islam seluruh Malaysia.

Sebanyak dua tajuk dibentangkan iaitu Tranformasi Pembangunan Latihan – Cabaran dan Hala Tuju Pusat Latihan Islam oleh Prof. Datuk Dr. Mohd Ghazali Abas, Profesor Ikhtisas Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Keberkesanan Latihan Terhadap Kepimpinan Sesebuah Organisasi oleh Dr. Haji Mohamad Kamal bin Haji Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Razak School of Government (RSOG).

Turut hadir di majlis ini ialah Datuk Hajah Hakimah Mohd. Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Cancelor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),Tuan Saiful Anuar bin Abdullah Saleh, Ketua Jabatan Pengurusan Sosial dan Kebajikan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Tuan Aminudin Mohamad, Pengarah Kanan ILIM.